PETALING JAYA: Mesyuarat Majlis Am Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) mengambil keputusan untuk melucutkan jawatan Mohd. Effendy Abdul Ghani sebagai Presiden serta melarang beliau bertanding dalam pemilihan pegawai MTUC selama dua penggal (satu penggal bersamaan tiga tahun).
Mesyuarat itu juga telah membentangkan hasil siasatan dan perbincangan teliti berhubung kes salah laku melibatkan Mohd. Effendy dalam mesyuarat yang diadakan pada 19 Januari lalu.
Berikutan keputusan tersebut, Mohd. Effendy tidak dibenarkan menggunakan nama, mewakili atau menghadiri sebarang mesyuarat atau majlis atas kapasiti MTUC berkuat kuasa serta-merta bermula 19 Januari 2025.
Pemangku Presiden MTUC, Datuk Dauzkaply Nor Ghazali berkata, sebarang kenyataan yang dibuat oleh Effendy selepas ini tidak boleh dianggap sebagai mewakili MTUC dan bukan tanggungjawab MTUC.
“Sebarang kenyataan beliau yang mengaitkan nama MTUC dianggap mencemarkan imej organisasi ini,” katanya dalam kenyataan.
Beliau turut menegaskan MTUC adalah gabungan kesatuan yang sentiasa membela nasib pekerja dan bergerak berlandaskan perlembagaan MTUC.
Segala keputusan dalam organisasi dibuat secara kolektif melalui Mesyuarat Majlis Am.
Dalam mesyuarat sama, Majlis Am MTUC telah mengarahkan Setiausaha Agung untuk menghantar surat bagi mengadakan perjumpaan dengan Menteri Sumber Manusia.
Perjumpaan itu bertujuan membincangkan pelbagai isu berkaitan pekerja, termasuk gaji minimum, Rang Undang-Undang Pekerja Gig, pindaan peraturan undi sulit dan isu lain berkaitan kepentingan pekerja.
Mesyuarat Majlis Am pada 19 Januari lalu telah elah dihadiri oleh 38 ahli majlis daripada gabungan kesatuan berfaedah.
Menurut perlembagaan MTUC, Majlis Am perlu bermesyuarat setiap dua bulan bagi membuat keputusan pentadbiran termasuk pembayaran gaji, bayaran gratuiti pekerja, latihan serta aktiviti lain yang berkaitan. – UTUSAN