PETALING JAYA: Prof Datuk Dr. Mohd Ekhwan Toriman mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkuat kuasa Ahad lalu.
Dalam mesej kepada pihak pengurusan universiti, beliau mengucapkan penghargaan kepada Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir, atas kepercayaan yang diberikan kepadanya sepanjang menerajui UKM.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada Menteri Pendidikan Tinggi yang memberi peluang kepada saya untuk menerajui UKM hingga ke tahap ini. Saya juga mendoakan UKM terus cemerlang pada masa akan datang,” katanya.
Mohd Ekhwan turut mengambil kesempatan untuk memohon kemaafan kepada seluruh warga UKM atas sebarang kekhilafan sepanjang tempoh kepimpinannya.
“Saya mohon kemaafan kepada semua pengurusan utama, pengurusan tertinggi dan warga UKM atas segala salah dan khilaf saya sepanjang mengetuai universiti ini,” katanya.
Dalam kenyataan sama, beliau turut menyentuh mengenai fitnah dan tohmahan yang dilemparkan kepadannya dengan menyatakan bahawa laporan polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah dibuat berhubung perkara tersebut.
“Terima kasih atas segala fitnah dan tohmahan yang dilontarkan. Alhamdulillah, saya dengan ini menarik diri daripada segala WhatsApp rasmi universiti,” katanya.
Sementara itu, UKM dalam satu kenyataan mengucapkan terima kasih atas khidmat bakti dan jasa Mohd Ekhwan sepanjang tempoh kepimpinannya.
Mohd Ekhwan dilantik sebagai Naib Canselor UKM pada 1 Januari 2021 dengan tempoh perkhidmatannya dilanjutkan selepas penggal asal berakhir pada 31 Disember 2023.
Beliau merupakan alumni UKM, memperoleh Ijazah Am (1992) dan Ijazah Kepujian (1993) dalam bidang Geografi Fizikal dari Fakulti Sains Kemasyarakatan dan Kemanusiaan.
Beliau kemudian menyambung pengajian ke peringkat sarjana (MSc) di University of Manchester serta Doktor Falsafah (PhD) di University of Newcastle Upon Tyne, UK dalam bidang Pemodelan Hidrologi Sekitaran, Sistem Maklumat Geografi (GIS) dan Pengurusan Sumber Air.
Sebelum menjadi Naib Canselor UKM, Mohd Ekhwan pernah memegang beberapa jawatan akademik dan pentadbiran utama, antaranya Timbalan Ketua Pengarah (Akademik dan Pembangunan), Jabatan Pendidikan Tinggi, Kementerian Pengajian Tinggi, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), UKM dan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Pembangunan), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).
Setakat ini, UKM belum mengumumkan pengganti bagi jawatan Naib Canselor selepas peletakan jawatan Mohd Ekhwan. – UTUSAN