PETALING JAYA: Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Mohd. Effendy Abdul Ghani mendakwa pemecatannya oleh Majlis Am MTUC tidak sah dan bertentangan dengan undang-undang.
Beliau berkata, mesyuarat yang memutuskan pelucutan jawatannya tidak diiktiraf oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS), berdasarkan surat bertarikh 16 Ogos 2024 yang menyatakan keputusan dibuat dalam mesyuarat itu adalah terbatal.
“Tindakan Majlis Am mengeluarkan kenyataan mengenai pemecatannya melanggar Perlembagaan MTUC dan bertentangan dengan perintah penangguhan (stay order) yang dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam.
“Mahkamah telah menetapkan bahawa tiada keputusan berhubung dasar kesatuan boleh dibuat sehingga rayuan saya selesai di Mahkamah Rayuan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Mohd. Effendy turut mempertikaikan kedudukan Kamarul Baharin Mansor sebagai Setiausaha Agung MTUC dengan mendakwa jawatan itu telah terbatal berdasarkan surat rasmi daripada Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Kesatuan Sekerja (JHEKS).
“Berdasarkan surat JHEKS bertarikh 20 Mei 2024, sebarang tindakan atau keputusan yang dibuat oleh beliau dalam kapasiti setiausaha agung adalah tidak sah dan tidak mempunyai sebarang kesan perundangan.
“Ketua Pengarah ROS telah menerima makluman ini dan mengarahkan saya untuk menggantung Kamarul sehingga keputusan rasmi dibuat dalam mesyuarat yang sah,” katanya.
Mohd Effendy berkata, mesyuarat Majlis Am yang diadakan tidak memenuhi piawaian Perlembagaan MTUC dan bercanggah dengan perintah mahkamah. – UTUSAN