PETALING JAYA: Kementerian Kewangan memaklumkan tiada keputusan muktamad dibuat berhubung pelaksanaan kaedah penilaian kenderaan di bawah peraturan cukai eksais baharu yang dijangka berkuat kuasa sepenuhnya pada 2026.
Dalam satu kenyataan, kementerian itu menjelaskan bahawa laporan mengenai kenaikan harga kenderaan secara signifikan akibat pelaksanaan Peraturan Cukai Eksais (Penentuan Nilai Barangan yang Dihasilkan Secara Tempatan untuk Tujuan Mengenakan Cukai Eksais) P.U.(A) 402/2019 adalah tidak tepat.
Menurut kementerian sama, pihaknya bersama Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri serta wakil industri automotif masih dalam peringkat perbincangan bagi memastikan kaedah penilaian kenderaan yang akan diguna pakai adalah adil, seragam, dan neutral.
Kementerian Kewangan memberi jaminan bahawa sebarang perubahan dalam sistem cukai akan dibuat dengan mengambil kira kepentingan semua pihak, termasuk pengguna dan pengeluar kenderaan, bagi memastikan keadilan dalam pengenaan cukai.
Sebelum ini, media melaporkan harga kereta pemasangan tempatan tidak akan dinaikkan sehingga awal tahun depan berikutan semakan semula duti eksais nilai pasaran terbuka (OMV), yang sepatutnya dilaksana pada 2020, ditangguh beberapa kali dengan tarikh akhir Januari 2025 kini dibawa ke Januari 2026.
Dalam pada itu, bagi sektor pengedar dan pengilang motosikal pula, menjangkakan kenaikan harga motosikal sehingga 20 peratus sebaik nilai pasaran terbuka (OMV) yang disemak semula untuk kenderaan dilaksanakan. – UTUSAN