PUTRAJAYA: Kementerian Kewangan (MOF) menetapkan sasaran kutipan hasil Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) sebanyak RM67.25 bilion bagi tahun ini.
Ketua Pengarah Kastam, Datuk Anis Rizana Mohd Zainudin berkata, bermula awal tahun ini, JKDM
telah menggerakkan seluruh jentera dalam memastikan sasaran kutipan hasil dapat dicapai.
“Sebagaimana kejayaan yang telah dicapai pada tahun lalu, saya yakin dan percaya kita mampu mengulangi kejayaan bagi tahun 2025 ini,” katanya ketika berucap sempena Sambutan Hari Kastam Sedunia Kali Ke-43 Tahun 2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya hari ini.
Pada 9 Januari lalu, media melaporkan JKDM merekodkan kutipan hasil tertinggi sebanyak RM65.67 bilion pada 2024, iaitu peningkatan 18.85 peratus berbanding RM55.17 bilion tahun sebelumnya.
Dalam pada itu, Anis Rizana berkata, sebagai sebuah agensi yang dipertanggungjawabkan dalam menguatkuasakan undang-undang, JKDM juga telah berjaya menggagalkan sebanyak 7,215 kes cubaan penyeludupan sepanjang tahun 2024 dengan nilai rampasan dan cukai terkorban mencecah RM1.644 bilion.
Jelasnya, sebagai perbandingan pada tahun
2023, jumlah nilai rampasan dan cukai terkorban hanya berjumlah RM884.27 juta sekali gus menunjukkan peningkatan yang signifikan sebanyak RM759.73 juta atau 85.92 peratus.
“Sebagai rekod, pada 23 Ogos tahun lalu, kejayaan yang besar telah dicapai oleh JKDM melibatkan rampasan sebanyak 17 buah kontena dengan muatan komoditi rokok sejumlah RM150.26 juta batang dan 30 tan tembakau serta 35.13 tan sisa plastik yang
bernilai RM118.16 juta.
“Rampasan ini merupakan rampasan yang terbesar oleh JKDM pada tahun 2024,” ujarnya. – UTUSAN