MK ralat tidak sempat mandi, kafan dan kuburkan arwah bapa - Utusan Malaysia

MK ralat tidak sempat mandi, kafan dan kuburkan arwah bapa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penyanyi kumpulan K-Clique, MK mengakui pemergian arwah bapanya, Hamdan Abdul Razak meninggalkan kesan yang mendalam terhadap hidupnya.

Kata MK atau nama penuhnya, Muhammad Hairi Amin Hamdan, 29, pemergian bapanya itu mengajarnya banyak perkara terutamanya menghargai orang di sekeliling.

“Saya tak pernah kehilangan orang yang paling rapat dengan saya. Ini adalah kehilangan yang pertama. Kehilangan ini mengajar saya banyak benda dan untuk lebih menghargai,” katanya.

MK berkata demikian ketika mengulas mengenai pemergian arwah bapanya pada 27 Oktober tahun lalu menerusi sebuah sesi temu bual.

Dalam pada itu, penyanyi lagu Risiko tersebut mengakui ralat kerana tidak berkesempatan untuk membawa anak perempuannya, Aya Rayana berjumpa dengan arwah bapanya.

Lebih memilukan, MK sendiri reda kerana tidak ada rezeki untuk menguruskan jenazah arwah bapanya sebagai penghormatan terakhir.

“Ketika itu tidak digalakkan untuk anak saya berjumpa arwah bapa tapi saya ada jumpa dia dan tunjuk gambar.

“Tapi saya sendiri tak sempat, tidak ada rezeki nak mandikan, kafan dan kuburkan dia namun saya percaya dia berada di tempat yang baik.

“Arwah bapa mengajar kami untuk menjadi kuat dan hadapi apa sahaja cabaran. Saya percaya dia ada dan sentiasa ada dalam doa saya,” jelasnya.

Berkongsi mengenai perkembangan anak, MK sempat meluahkan rasa bersyukur dapat merasai pengalaman menjadi seorang bapa.

“Alhamdulillah, satu pengalaman baru untuk saya dan amat menyeronokkan. Dia sudah boleh merangkak dan berguling.

“Alhamdulillah, saya juga mempunyai isteri yang luar biasa. Hajar lagi banyak pengorbanannya dan dia sangat hebat sebagai seorang ibu,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN