KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menjatuhkan hukuman penjara sembilan tahun dan 20 sebatan kepada seorang bekas jurulatih seni bela diri warga Iran kerana memiliki 1,858.3 gram dadah jenis kanabis, dua tahun lalu.
Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin memutuskan demikian selepas tertuduh, Ahmad Dehgani, 27, mengaku bersalah atas dua pertuduhan yang dikemukakan kepadanya.
Mengikut dua pertuduhan, tertuduh telah didakwa memiliki bahan tersebut dengan berat bersih 997.7 gram dan 860.6 gram di dua lokasi di Jalan Sri Permaisuri, Cheras dan Jalan Baba Pudu, Dang Wangi di sini antara 3 petang dan 4.30 petang pada 16 Mac 2023.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 12(2) yang diboleh dihukum di bawah Seksyen 39A (2) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau tidak kurang lima tahun penjara dan maksimum 10 sebatan.
Timbalan Pendakwa Raya, Khalijah Mohd. Khalid memohon hukuman setimpal terhadap tertuduh serta memohon supaya hukuman penjara itu tidak berjalan serentak.
Peguam bela, Abdul Rashid Ismail yang mewakili tertuduh memohon supaya abak guamnya dijatuhkan hukuman pemenjaraan dalam tempoh singkat atas alasan tertuduh telah insaf serta tidak akan mengulangi kesalahan sama.
“Anak guam saya sedar bahawa dia tidak sempat untuk menamatkan pengajiannya dalam Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan selepas ditahan atas kesalahan ini dan dia sepatutnya bergraduasi pada Jun 2023,” kata peguam itu.
Mahkamah kemudian memerintahkan hukuman penjara sembilan tahun yang berjalan serentak bermula dari tarikh tangkap pada 16 Mac 2023 dan 10 sebatan bagi setiap pertuduhan. – UTUSAN