KUALA LUMPUR: Kerajaan dalam proses memuktamadkan perjanjian dengan syarikat robotik marin dari Britain, Ocean Infinity dalam usaha pencarian bangkai pesawat Malaysia Airlines, MH370 di Lautan Hindi.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, kerajaan akan memaklumkan mengenai syarat yang ditetapkan kepada syarikat tersebut selepas perjanjian antara dua pihak dimuktamadkan.
“Itu nanti kita (maklumkan) sebab kita masih (sedang) memuktamadkan perjanjian, belum sign (tandatangan) lagi.” katanya ringkas semasa sidang media di Stesen Keretapi Tanah Melayu (KTM) Sentul.
Terdahulu, Anthony Loke meluncurkan operasi lokomatif dan gerabak pajakan secara ‘pay-as-use’ untuk perkhidmatan kereta api kargo, di sini semalam.
Beliau yang juga Setiausaha Agung DAP itu berkata demikian selepas diminta menyatakan apakah terdapat sebarang syarat yang ditetapkan oleh kerajaan kepada Ocean Infinity mengenai pencarian semula tersebut.
Utusan Malaysia melaporkan, kerajaan perlu memperincikan maksud sebenar pencarian MH370 oleh syarikat kapal robotik Ocean Infinity bagi mengelakkan sebarang kekeliruan atau pembayaran tanpa bukti kukuh.
Bekas Ketua Juruterbang Malaysia Airlines (MAS), Datuk Kapten Nik Ahmad Huzlan Nik Hussain berkata, kerajaan perlu menentukan sama ada rakaman video serpihan di dasar laut sudah mencukupi untuk dianggap sebagai penemuan rasmi atau serpihan utama termasuk kotak hitam perlu dibawa ke permukaan terlebih dahulu.
Sebelum ini, Ocean Infinity dilaporkan menghantar kapal paling canggih seumpamanya dari segi teknikal untuk menjelajah Lautan Hindi.
Pencarian terbaharu itu dilakukan selepas pesawat tersebut hilang 11 tahun lalu semasa penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur ke Beijing, China.
Syarikat kapal robotik itu sebelum ini ditawarkan bayaran 55 juta pound (RM308 juta) oleh kerajaan Malaysia sekiranya berjaya mengesan pesawat yang hilang pada Mac 2014 itu, dengan 239 orang berada di dalamnya.
Syarikat tersebut telah melancarkan pencarian dalam beberapa hari kebelakangan ini bagi mendahului ketibaan musim sejuk di Hemisfera Selatan.
Pencarian akan menumpukan imbasan awal dasar lautan di kawasan yang tidak diberi perhatian mencukupi semasa misi terdahulu.
Kapal sokongan Ocean Infinity, Armada 7806 yang membawa kenderaan bawah air berautonomi (AUV), telah digunakan di zon pencarian 1,931 kilometer dari Perth, Australia pada hujung minggu lalu untuk mencari MH370. – UTUSAN