PETALING JAYA: Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) mengeluarkan ramalan keadaan cuaca ekstrem bagi Sarawak dan kawasan utara Semenanjung dalam tempoh terdekat.
Ketua Pengarah MET Malaysia, Dr. Mohd. Hisham Mohd. Anip berkata, analisis model-model cuaca menunjukkan penumpuan angin dijangka berlaku di Sarawak dari 17 hingga 19 Februari ini.
“Keadaan ini berpotensi menghasilkan ribut petir serta hujan lebat dan angin kencang dalam tempoh yang lebih panjang di kawasan tersebut,” katanya dalam kenyataan.
Mohd. Hisham berkata, MET Malaysia turut menjangkakan cuaca kering dan panas dengan suhu melebihi 35 darjah Celsius di kebanyakan kawasan di utara Semenanjung sepanjang tempoh ramalan tujuh hari ke hadapan.
Sehubungan itu, orang awam dinasihatkan untuk sentiasa merujuk laman web rasmi MET Malaysia di www.met.gov.my, aplikasi myCuaca dan saluran media sosial rasmi MET Malaysia untuk mendapatkan maklumat cuaca yang terkini dan sahih.
MET Malaysia menasihatkan orang ramai supaya mengambil langkah berjaga-jaga dan bersedia menghadapi sebarang kemungkinan kesan cuaca ekstrem khususnya di Sarawak dan kawasan utara Semenanjung. – UTUSAN