PETALING JAYA: Pelantikan seorang Menteri Bagi Hal Ehwal Agama Bukan Islam di peringkat Persekutuan dianggap sebagai satu usaha untuk menyamakan kedudukan agama lain dengan Islam sebagai agama rasmi yang terdapat dalam Perlembagaan Persekutuan.
Pakar Perlembagaan, Prof Datuk Dr. Shamrahayu Abd. Aziz berkata, Perlembagaan tidak pernah membincangkan mengenai pelantikan Menteri untuk agama bukan Islam, berbanding kedudukan Islam yang jelas dinyatakan dalam Perkara 12(2) Perlembagaan Persekutuan bagi tujuan penubuhan institusi Islam.
Kata beliau, peruntukan Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa Islam adalah agama Persekutuan tetapi ia juga menjamin kebebasan beragama untuk semua, namun tiada peruntukan yang menyediakan tatacara khusus pengurusan agama selain Islam.
“Tiada peruntukan yang menyatakan agama dalam Senarai Persekutuan untuk dijadikan asas kepada pelantikan Menteri yang dimaksudkan.
“Tidak perlu dan tidak boleh melantik Menteri Hal Ehwal Agama Bukan Islam.
“Pelantikan Menteri yang khusus untuk agama bukan Islam seolah dirasakan kesamarataan antara agama yang mana tiada niat Perlembagaan untuk mempunyai agama lain sama rata dengan Islam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Semalam, Ahli Parlimen Raub, Chow Yu Hui, memberi cadangan supaya portfolio Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dipecahkan kepada dua iaitu untuk urusan agama Islam dan satu lagi hal ehwal bukan Islam.
Mengulas lanjut, Shamrahayu berkata, Perkara 77 Perlembagaan Persekutuan meletakkan urusan agama bukan Islam di bawah kuasa negeri manakala Islam mempunyai struktur pentadbiran tersendiri melalui majlis agama Islam negeri (MAIN) yang ditubuhkan berdasarkan undang-undang negeri masing-masing.
“Namun begitu, amalan pentadbiran negara kita tidak pernah mengenepikan urusan orang atau agama bukan Islam. Terdapat Kementerian dan Jawatankuasa yang menjaga hak kepentingan orang bukan Islam, iaitu Kementerian Perpaduan dan Jawatankuasa Hubungan Antara Kaum. Kebajikan pendidikan juga tidak diabaikan oleh kerajaan.
“Untuk kebajikan lain ia boleh diuruskan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), seperti hal berkaitan penubuhan rumah-rumah untuk melaksanakan ritual agama mereka,” katanya. – UTUSAN