Menteri hal bukan Islam langgar Perlembagaan

Menteri hal bukan Islam langgar Perlembagaan

DR. WAN AHMAD FAUZI WAN HUSAIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Cadangan untuk mewujudkan seorang menteri bagi hal ehwal bukan Islam adalah bertentangan Perlembagaan Persekutuan.

Pakar Perlembagaan, Datuk Prof. Madya Dr. Wan Ahmad Fauzi Wan Husain berkata, cadangan itu tidak sepatutnya keluar daripada seorang ahli Parlimen malah melanggar sumpah jawatan sebagai ahli Parlimen untuk memelihara, melindungi dan mempertahankan Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, beliau sepatutnya lebih berhati-hati untuk mengeluarkan pandangan agar tidak menimbulkan polemik tidak sihat yang berpotensi menambahkan lagi kegelisahan rakyat, khususnya masyarakat majoriti beragama Islam.

“Seorang ahli Parlimen perlu sedar bahawa hak kebebasan beragama bagi bukan orang Islam hanya terbatas kepada amalan undang-undang peribadi yang lebih bersifat ritual (upacara keagamaan) dan ibadat.

“Itu pun boleh dikatakan undang-undang diri bukan orang Islam dalam urusan perkahwinan, pewarisan harta dan penjagaan anak lebih dipengaruhi oleh English common law, bukan ditentukan mengikut ajaran agama mereka,” katanya di sini semalam.

Kelmarin, Ahli Parlimen Raub, Chow Yu Hui, memberi cadangan supaya portfolio Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dipecahkan kepada dua iaitu untuk urusan agama Islam dan satu lagi hal ehwal bukan Islam.

Wan Ahmad Fauzi berkata, berbeza dengan kedudukan agama Islam yang bukan sahaja agama bagi Persekutuan, bahkan agama negeri, melainkan Sarawak sahaja yang tidak memperuntukkan dalam Perlembagaan Negerinya.

Namun begitu, kewajipan Yang di-Pertuan Agong untuk memelihara agama Islam serta kedudukan pihak berkuasa agama Islam termaktub dalam setiap undang-undang tubuh dan perlembagaan negeri.

“Perlu difahami bahawa hanya pihak berkuasa agama Islam dibenarkan untuk diwujudkan oleh Perlembagaan Persekutuan.

“Sebaliknya, hal ehwal upa­cara keagamaan dan ibadat agama selain Islam boleh ditad­bir melalui persatuan, badan atau institusi yang tidak bertaraf pihak berkuasa seperti Majlis Agama Islam Negeri,” katanya.

Menurut beliau, kedudukan terse­but amat jelas di sisi Perlembagaan Persekutuan kerana Perkara 11(2) Perlembagaan Per­sekutuan memperuntukkan tia­da seorang boleh dipaksa untuk membayar sebarang cukai yang hasil kutipannya sama ada diperuntukkan secara khusus atau sebahagiannya bagi maksud selain daripada agama yang di­anutinya.

Katanya, orang bukan Islam diberikan hak untuk menguruskan sendiri upacara agama, menubuhkan institusi keagamaan dan kebajikan serta memiliki dan mentadbir harta mengikut kaedah undang-undang bagi maksud agama mereka sendiri.

Beliau berkata, berbeza dengan kedudukan agama Islam, Perkara 12(2) Perlembagaan Persekutuan hanya membenarkan belanjawan Persekutuan dan Negeri dibelanjakan untuk menubuh atau menjaga Institusi agama Islam dan memberikan bantuan yang perlu bagi tujuan ajaran agama Islam.

“Selaras dengan kewajipan Yang di-Pertuan Agong untuk memelihara agama Islam dan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan, maka prinsip tatakelola Islam turut terpakai dalam undang-undang Persekutuan yang bersifat awam,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya