AMPANG: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar mengesahkan kes khalwat melibatkan pasangan sensasi, Aliff Aziz dan Ruhainies sudah selesai.
Mohd Na’im berkata, kedua-dua selebriti itu telah menarik semula pengakuan tidak bersalah kepada bersalah dalam sebuah prosiding mahkamah yang berlangsung pada 21 Februari lalu di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
“Saya boleh sahkan pada peringkat awal, kedua-dua mereka telah tidak mengaku bersalah. Jadi berdasarkan pengakuan tidak bersalah itu, mahkamah meletakkan tarikh untuk perbicaraan. Itu adalah proseding biasa di mana-mana mahkamah, sama ada mahkamah syariah ataupun di mahkamah syariah.
“Walau bagaimanapun pada 21 Februari lalu, ketika proseding itu berjalan kedua-dua tertuduh telah memaklumkan kepada mahkamah bahawa mereka berhasrat untuk menarik balik pengakuan tidak bersalah dan ingin mengaku bersalah.
“Pengakuan bersalah tersebut telah direkodkan oleh mahkamah. Mahkamah turut mengesahkan pengakuan tersebut dibuat tanpa sebarang paksaan.
Semua dibuat secara sukarela,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Mohd Na’im berkata demikian ketika ditemui di Majlis Pelancaran Program Ramadan Syawal 1446H/2025 TV AlHijrah, hari ini.
Tambah Menteri Agama tersebut, Alif dan Ruhainies juga telah pun membayar denda sebanyak RM3,000 seperti yang ditetapkan oleh hakim.
“Seperti mana yang dimaklumkan oleh Jabatan Pendakwaan Syariah Wilayah Persekutuan, hakim telah menjatuhkan hukuman membayar denda sebanyak RM3,000 setiap seorang dan sekiranya gagal, hakim penjara selama tiga bulan.
“Jadi, saya difahamkan kedua-dua tertuduh membayar denda tersebut dan kes selesai,” jelasnya.
Hari ini, Jabatan Pendakwaan Syariah Wilayah Persekutuan turut mengeluarkan sebuah kenyataan
mengesahkan perkara yang sama.
Terdahulu, Aliff dan Ruhainies masing-masing dituduh di bawah seksyen 27 (a) dan 27 (b) Akta Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 [Akta559], atas kesalahan berkhalwat.
Pada 20 Jun tahun lalu, Aliff dan Ruhainies hadir ke Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan bagi proses lanjutan bon jamin berhubung kes khalwat di sebuah kondominium.
Pada 9 Mac tahun lalu, Aliff dan Ruhainies telah dicekup berkhalwat selepas didakwa bersekedudukan di sebuah kondominium mewah di Kuala Lumpur.
Ketika isu khalwat itu berlaku, Aliff masih merupakan suami kepada pelakon dan penyanyi, Bella Astillah atau nama sebenarnya Dayang Ara Nabellah Awang Astillah, 31.
Pasangan itu kemudian disahkan bercerai dengan talak satu buat kali kedua pada 13 Jun lalu, kira-kira tiga bulan selepas Aliff ditangkap khalwat. – UTUSAN