SUNGAI PETANI: Rakan kepada Allahyarham Muhammad Haziq Uzayr Hairudin, 17, yang meninggal dunia semasa menyertai acara merentas desa di sebuah sekolah di sini, semalam terkilan kerana tidak berjaya meraih pingat bersama-sama.
Putra Hafiz Zaidi, 17, berkata, mereka berdua menyasarkan untuk memperolehi pingat pada larian itu berikutan acara tersebut merupakan aktiviti sukan pertama sejak sesi persekolahan tahun ini dibuka sejak 12 hari lalu.
“Kami janji nak sampai ke garisan penamat sama-sama tetapi tak sangka dia ‘pergi’ dahulu. Memang kami bersemangat dan mahu tiba ke garisan penamat lebih awal tetapi dia memecut laju meninggalkan saya di belakang.
“Bila tiba di garisan penamat saya nampak dia rebah tidak sedarkan diri sebelum guru bertugas dan pelajar yang merupakan ahli Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) memberi rawatan kecemasan,” katanya ketika ditemui di sini.
Semalam, akhbar ini melaporkan seorang pelajar sebuah sekolah menengah yang aktif bersukan meninggal dunia selepas rebah dipercayai ketika menyertai aktiviti merentas desa.
Putra Hafiz berkata, ketika arwah rebah dia tidak memikirkan perkara buruk akan menimpa rakannya, sebaliknya beranggapan mungkin Muhammad Haziq kepenatan selepas menghabiskan larian.
“Tetapi selepas melihat dia kaku ketika dibawa ambulans ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), saya rasa sesuatu yang serius telah menimpanya dan tidak lama kemudian kami dimaklumkan Muhammad Haziq meninggal dunia.
“Malam kelmarin kami sempat minum bersama beberapa lagi rakan di sebuah warung dan menyedari perubahan sikapnya daripada seorang yang suka berseloroh kepada pendiam,” katanya.
Seorang lagi rakan arwah, Saifuddin Norman, 17, pula memaklumkan mereka sempat keluar memancing di Kuala Ketil sehari sebelum kejadian serta menghantarnya pulang ke rumah.
“Dia berjanji untuk menemani saya ke Kampung Pinang Tunggal, Kepala Batas di Pulau Pinang untuk menghantar enjin motosikal saya yang rosak untuk dibaiki. Namun saya terkejut apabila menerima berita kehilangan seorang rakan yang baik dan rapat,” katanya.
Sementara itu, abang sulung mangsa, Muhammad Haazim, 25, berkata, mereka sekeluarga mahu mengetahui punca kematian arwah yang diketahui tidak mengidap sebarang penyakit selain aktif bersukan.
“Sehingga kini kami belum menerima sebarang laporan berkaitan kematian adik, tetapi segala keputusan itu juga akan kami terima dengan hati terbuka kelak,” katanya.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, bedah siasat telah selesai dijalankan pihak hospital dan beberapa sampel biologi yang diambil masih menunggu keputusan analisis makmal. – UTUSAN