JOHOR BAHRU: Polis Johor mengeluarkan sebanyak 11,645 saman dengan kesalahan utama adalah memandu melebihi had laju sepanjang Op Selamat 23/2025 bersempena perayaan Tahun Baharu Cina, yang berakhir semalam.
Ketua Polis Johor, Datuk M. Kumar berkata, sebanyak 3,963 saman adalah memandu melebihi had laju.
“Walau bagaimanapun, dalam Op Selamat kali ini, jumlah saman yang dikeluarkan berkurangan, iaitu sebanyak 11,645 berbanding 23,386 saman pada tahun lalu. Kes kemalangan turut mencatatkan penurunan sebanyak 1,169 berbanding 1,221 kes pada Op Selamat tahun lalu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam tempoh Op Selamat selama enam hari bermula 28 Januari lalu, kemalangan maut turut mencatatkan penurunan, iaitu lapan kes berbanding 13 tahun lalu.
“Seramai 40 pesalah trafik atas pelbagai kesalahan ditahan dan seramai 23 orang ditangkap di bawah Seksyen 45A (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana memandu di bawah pengaruh alkohol dan melebihi had yang dibenarkan.
“Seramai 15 orang pula ditangkap di bawah Seksyen 42 APJ 1987 kerana memandu secara melulu dan berbahaya,” katanya.
Bagi Kempen Rumah Selamat, pihaknya menerima 542 laporan balik kampung menerusi aplikasi Volunteer Smartphone Patrol (VSP) dan borang yang disediakan.
“Kejayaan Op Selamat 23/2025 membuktikan komitmen polis negeri ini serta kolaborasi murni dengan masyarakat dalam menentukan keselamatan dan kesejahteraan terjamin,” katanya. – UTUSAN