MELAKA: Kerajaan negeri bercadang untuk memajak tanah milik kerajaan Persekutuan dianggarkan seluas lebih 100 hektar bagi diusahakan sebagai kawasan pertanian.
Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan Melaka, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, ramai rakyat negeri ini terutama golongan muda ingin mengusahakan bidang berkenaan tetapi menghadapi masalah ketiadaan tanah yang luas.
Menurutnya, Melaka merupakan sebuah negeri yang kecil dengan kepadatan penduduk tinggi menyebabkan ramai rakyat tidak dapat menceburi pertanian terutamanya tanaman kontan.
“Saya lihat banyak tanah terbiar milik kerajaan Persekutuan sebagai contoh tanah di Ayer Keroh yang pada mulanya ada cadangan untuk membina Hospital Melaka yang baharu.
“Tetapi difahamkan lokasinya bukan di situ tetapi di tempat lain jadi tanah milik Kementerian Kesihatan, apa salahnya dibenarkan untuk dipajak bagi tempoh lima hingga 10 tahun bagi kerajaan negeri melaksanakan program pertanian.
“Saya yakin jika ia dibenarkan kita dapat mengatasi masalah kemiskinan tegar, pengangguran, isu keterjaminan makanan dan menambah pendapatan bagi golongan B40,” katanya ketika ditemui selepas melawat projek tanaman cili secara fertigasi di Lorong Haji Yang, Bachang di sini, semalam.
Tambah Muhamad Akmal, sebagai langkah awal, pihaknya akan memohon tanah daripada beberapa kementerian untuk tempoh sekurang-kurangnya lima tahun bagi mengusahakan tanaman kontan.
Beliau berkata, tanah yang dipajak bukan untuk diusahakan tanaman kekal sebaliknya tanaman kontan seperti cili, rock melon, halia dan sebagainya.
“Saya melihat tanaman hidroponik dan cili fertigasi kini mendapat tempat dalam kalangan mereka yang berminat dalam bidang pertanian kerana pulangan hasil yang cukup lumayan,” ujarnya. – UTUSAN