Mekanik tidak mengaku pukul anjing guna penukul besi - Utusan Malaysia

Mekanik tidak mengaku pukul anjing guna penukul besi

HEW Kan Wai didakwa memukul anjing peliharaannya menggunakan tukul besi dalam kejadian bulan lalu ketika dituduh di Mahkamah Sesyen Ipoh hari ini. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Seorang mekanik mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan memukul anjing peliharaannya menggunakan tukul besi, bulan lalu.

Tertuduh, Hew Kan Wai, 42, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan dalam bahasa Kantonis di hadapan Hakim Jean Sharmila Jesudason.

Mengikut pertuduhan, bapa kepada dua anak itu didapati dengan kejamnya memukul seekor anjing jantan baka Pit Bull kacukan berwarna putih coklat menggunakan sebatang tukul besi hingga menyebabkan kecederaan.

Dia didakwa melakukan kegiatan itu di hadapan sebuah rumah di Persiaran Tasek Timur 1, Taman Ria dalam daerah Kinta pada pukul 8 malam, 18 Januari 2025.

Lelaki itu didakwa di bawah Seksyen 29 (1)(a) Akta Kebajikan Haiwan 2015 (Akta 772) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 29 (1) akta yang sama yang memperuntukkan denda minima RM20,000 dan maksimum RM100,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak lebih daripada tiga tahun atau kedua-dua sekali, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Qurratu’aini Khalifah menawarkan jaminan sebanyak RM20,000 namun peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), M. Kathan yang mewakili tertuduh memohon jumlah jaminan ringan dikenakan terhadap lelaki itu.

Menurut Kathan, tertuduh bekerja sebagai mekanik motosikal dengan pendapatan bulanan RM2,000 dan merupakan penanggung tunggal keluarga.

“Selain menanggung isteri, ibu dan dua anak, tertuduh turut menanggung persekolahan empat anak saudaranya selepas kematian bapa mereka. Mohon jaminan minimum dikenakan terhadap tertuduh,” katanya.

Mahkamah kemudian menetapkan jaminan RM2,500 dengan seorang penjamin dan tertuduh diperintahkan untuk melapor diri pada setiap awal bulan di balai polis berhampiran sehingga kes selesai.

Tarikh sebutan semula kes untuk serahan dokumen dan lantikan peguam pada 11 Mac depan.

Media sebelum ini melaporkan, seorang lelaki ditahan polis selepas video perbuatannya memukul anjing peliharaan menggunakan sebatang besi tular di media sosial.

Berdasarkan keterangan yang diberikan, lelaki terbabit dikatakan bertindak memukul anjing tersebut kerana haiwan itu telah menggigitnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya