MEF positif langkah kerajaan laksana gaji minimum RM1,700

MEF positif langkah kerajaan laksana gaji minimum RM1,700

SYED HUSSAIN SYED HUSMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelaksanaan gaji minimum RM1,700 berkuatkuasa hari ini dilihat sebagai langkah positif ke arah mengukuhkan tenaga kerja di Malaysia.

Presiden Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF), Datuk Dr. Syed Hussain Syed Husman berkata,  gaji yang adil dan kompetitif adalah penting untuk motivasi pekerja dan pertumbuhan ekonomi secara keseluruhan.

Selain itu, ia juga meningkatkan produktiviti bagi memastikan daya saing dalam bidang perniagaan yang lebih baik.

“MEF percaya bahawa ‘pelaburan’ itu akan meningkatkan dan menyumbang kepada prestasi perniagaan yang lebih positif untuk jangka panjang. 

“Kami juga yakin bahawa peningkatan gaji minimum akan membolehkan majikan untuk mengekalkan potensi pekerja dengan lebih baik dan pertumbuhan ekonomi yang lebih kukuh,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Perintah Gaji Minimum baharu akan berkuat kuasa di seluruh negara mulai hari ini dan perintah itu menetapkan kadar gaji minimum RM1,700 sebulan kepada majikan yang menggajikan lima orang pekerja atau lebih dan majikan yang menjalankan suatu aktiviti profesional, tanpa mengambil kira bilangan pekerja yang digajikan oleh majikan tersebut.

Bagi majikan yang menggajikan kurang daripada lima orang pekerja, tarikh kuat kuasa akan bermula pada 1 Ogos depan, bagi memastikan majikan diberi tempoh mencukupi untuk melakukan penyesuaian dalam struktur gaji dan operasi syarikat masing-masing.

Kegagalan majikan untuk mematuhi Perintah Gaji Minimum merupakan satu kesalahan dan boleh didenda sebagaimana diperuntukkan di bawah Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011 (Akta 732).

Dalam pada itu, Syed Hussain turut berharap Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dapat melaksanakan keperluan yang seimbang dengan keperluan gaji minimum baharu tanpa tekanan dalam aspek kewangan.

“Secara amnya, majikan termasuk PKS mula mengambil inisiatif untuk mengoptimumkan operasi, meningkatkan kemahiran pekerja, dan meneroka penggunaan teknologi untuk mengekalkan daya saing. 

“MEF berharap bahawa kerajaan akan terus memberikan sokongan yang sesuai kepada majikan terutama PKS, dengan insentif kewangan dan program latihan yang akan membolehkan perniagaan untuk beralih dengan lancar kepada keperluan gaji minimum yang baru untuk mengembangkan perniagaan mereka,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya