Media tempatan kena buli

Media tempatan kena buli

SKMM sedang berhubung dengan TikTok bagi mendapatkan penjelasan men­genai 18 akaun TikTok media tempatan disekat baru-baru ini. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Garis panduan komuniti oleh pengendali platform media sosial yang kerap berubah disifatkan sebagai perbuatan buli khususnya terhadap syarikat media tempatan yang menggunakan platform media sosial bagi menyampaikan be­rita.

Perubahan itu seolah-olah ‘sengaja’ mahu menyekat mana-mana organisasi media, sama ada arus perdana atau bukan daripada menjana keuntungan dan hanya memberikan faedah kepada pengendali media sosial tersebut.

Situasi itu memberi tekanan bahkan kerugian kepada pengguna media sosial khususnya media tempatan, pencipta kan­dungan atau pun pempengaruh media sosial yang terpaksa sentiasa perlu cakna terhadap garis panduan komuniti pengendali platform media sosial supaya tidak dikenakan sekatan.

Presiden Persatuan Pengguna Siber Malaysia (MCCA), Siraj Jalil berkata, media tempatan khususnya arus perdana merupakan penyumbang utama dalam kandungan-kandungan berintergriti dan bertanggungjawab di platform media sosial.

Katanya, sekiranya tindakan pengendali platform media sosial yang dominan itu sentiasa melakukan perubahan terhadap garis panduan komunitinya sehingga menggugat keberkesa­nan media tempatan menyampaikan berita ia membuktikan ada kelompongan dalam perkara tersebut.

“Sepatutnya kerajaan menerusi Kementerian Komunikasi dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) mewujudkan satu forum untuk menemukan media arus perdana dengan pengendali platform sosial media supaya perbincangan menang-menang dapat dihasilkan.

“Media arus perdana tidak boleh di anaktirikan atau dilayan seperti pengguna media sosial persendirian atau blogger kerana mereka patuh undang-undang kerajaan dan garis panduan ditetapkan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Beliau mengulas insiden yang membabitkan 23 organisasi media yang dikenakan sekatan oleh TikTok sehingga menyebabkan kehila­ngan puluhan juta.

Sebelum itu laman facebook milik portal berita Siakap Keli yang memiliki 6.6 juta pengikut hilang dipercayai dinyahaktif oleh Meta.

Namun pemiliknya berkata, akses kepada halaman Facebook Siakap Keli terganggu buat sementara akibat isu teknikal dan mereka sedang bekerjasama dengan pengen­dali platform laman sosial tersebut iaitu Meta untuk me­nyelesaikan masalah dihadapi.

Terbaharu, Menteri Komu­nikasi, Fahmi Fadzil memaklumkan SKMM sedang berhubung dengan TikTok bagi mendapatkan penjelasan men­genai 18 akaun TikTok media tempatan yang disekat baru-baru ini.

Menurutnya, sekatan berpunca daripada laporan berkaitan kes cabul di sebuah masjid dekat Batang Kali yang melibatkan budak perempuan bawah umur.

“Masalahnya adalah kecerdasan buatan (AI) TikTok itu sendiri, di sini sedikit amaran, AI kadangkala dia boleh jauh tersasar, dia tak faham bahawa organisasi media pelaporannya berbeza daripada kandungan dihasilkan oleh orang biasa.

“Saya telah minta supaya satu perbincangan diadakan dalam tempoh terdekat untuk memperhalusi fungsi akaun-akaun TikTok yang dimiliki oleh media supaya tidak dikenakan tindakan sedemikian rupa di masa depan,” kata­nya.

Susulan kenyataan itu, Si­raj berkata, sekatan dikenakan terhadap 18 akaun TikTok media tempatan disebabkan AI tersebut menimbulkan persoalan besar kemungkinan teknologi itu mampu menggugat kebebasan bersuara.

Katanya, tidak dinafikan bahawa kecepatan teknologi AI dalam menyekat berita tak sahih, fitnah, melampau dan sebagainya adalah sangat efektif.

“Adakah ini menunjukkan kebergantungan sepenuhnya kepada AI mampu menggugat kebebasan bersuara dan demokrasi yang diamalkan di negara ini?

“Kita tidak bercakap mengenai pencipta kandungan individu sebaliknya membabitkan 18 media arus perdana dan portal.

“Kerajaan perlu berjumpa dengan pengendali platform media sosial berkaitan untuk membincangkan justifikasi garis panduan yang dipantau oleh AI supaya keadaan ini tidak berulang.

“Sekatan terhadap akaun media sosial media arus perdana dan portal akan mendatangkan kerugian sedangkan mereka juga menyumbang kepada pengendali platform media sosial tersebut,” katanya.

Sementara itu, Pensyarah Ka­nan Komunikasi Media Baharu Universiti Sains Islam Ma­laysia (USIM), Dr. Afiqah Kamarul berkata, jalan keluar kepada ke­bergantungan tinggi kepada platform media sosial seperti Facebook, TikTok, Instagram dan sebagainya adalah dengan membangunkan sendiri platform media sosial tempatan.

Katanya, dengan kewujudan platform media sosial tempatan, kerajaan atau pembangun boleh mewujudkan garis panduan yang lebih relevan de­ngan budaya dan nilai negara.

“Ini sekali gus mengurangkan kekangan daripada pengendali media sosial gergasi dan membolehkan berita yang sahih disebarkan tanpa seka­tan ketat.

“Dengan cara ini, suara rakyat dapat didengari dan maklumat yang tepat dapat dikongsi dengan lebih bebas.

“Saya percaya kita mempunyai kepakaran dan sumber yang mencukupi untuk membina platform media sosial kita sendiri, asalkan kita bekerjasama.

“Kita mempunyai bakat hebat dalam kalangan pelajar dan profesional. Semangat kerjasama dan inovasi, kita boleh mencipta ruang digital yang lebih positif dan terbuka untuk semua,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya