PETALING JAYA: Seorang individu ditahan selepas gagal hadir ke mahkamah bagi menghadapi pertuduhan atas kesalahan memuat naik kandungan bersifat palsu membabitkan Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam kenyataan berkata, tangkapan dilakukan dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada pukul 11 malam tadi.
Menurutnya, tangkapan dilakukan sejurus waran tangkap dikeluarkan oleh hakim Mahkamah Sesyen Sepang, semalam, terhadap individu tersebut.
“Individu berkenaan gagal hadir pada sebutan kes yang ditetapkan di mahkamah terbabit pada 24 Februari 2025.
“Suspek yang kini dalam tahanan PDRM akan dihadapkan semula ke mahkamah sama dalam masa terdekat,” katanya.
MCMC memaklumkan individu itu akan didakwa di bawah Seksyen 233 (1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588] yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara satu tahun, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Kesalahan terbabit didakwa dilakukan menerusi laman aplikasi Facebook miliknya. – UTUSAN