SUBANG JAYA: Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) telah melaksanakan Operasi Bersepadu Tindakan Penurunan Iklan Tanpa Kelulusan pada 18 Februari 2025 (Selasa) ke atas sebuah premis makanan yang beralamat di No. 1, Jalan SS19/6, 47500, Subang Jaya.
Operasi ini dilaksanakan susulan pemantauan dan siasatan yang mendapati premis tersebut telah memasang papan iklan tanpa mendapatkan kelulusan yang sah daripada MBSJ.
MBSJ telah mengeluarkan Notis Pemberitahuan UUK 7 Undang-Undang Kecil Iklan MBSJ 2007 iaitu larangan mempamerkan iklan tanpa lesen yang sah dari MBSJ kepada pemilik premis pada 21 Januari 2025 dan tiada tindakan pematuhan dilakukan oleh pemilik premis hingga tarikh notis tamat pada 3 Februari 2025.
Sehubungan itu, MBSJ telah mengambil tindakan tegas dengan menurunkan papan iklan yang dipasang tanpa kelulusan yang sah dari MBSJ di bawah peruntukan UUK 21 Undang-Undang Kecil Iklan MBSJ 2007 dan boleh didenda maksimum sehingga RM1, 000.00 jika disabitkan kesalahan.
Premis tersebut turut dikenakan tindakan atas kesalahan di bawah UUK 3 Undang – Undang Kecil Pelesenan Establisymen Makanan MBSJ 2007 iaitu tidak mempunyai lesen perniagaan yang sah dan MBSJ telah mengenakan tindakan sitaan barangan serta penutupan premis serta merta.
Selain itu premis tersebut turut diberikan notis mengosong dan meruntuh bangunan, dibawah Akta Jalan Parit dan Bangunan (AKTA 133) atas kesalahan membuat pengubahsuaian melencong dari pelan kelulusan.
Pemilik diarahkan membuka dan meruntuhkan binaan yang melanggar garis panduan yang ditetapkan MBSJ dalam tempoh 30 hari daripada tarikh notis dikeluarkan.
Pihak MBSJ menasihatkan agar semua pemilik premis mematuhi garis panduan yang telah ditetapkan dan membuat permohonan kebenaran terlebih dahulu.
Pemantauan berkala akan terus dijalankan dari masa ke semasa dan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak atau premis yang didapati melanggar peraturan dan syarat-syarat yang telah ditetapkan.