IPOH: Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham Ishsam Shahruddin yang meninggal dunia semasa menyertai pertandingan bola sepak persahabatan empat penjuru di Pulau Pinang petang tadi.
“Ya Allahu Azza Wa Jalla, Kau ampunilah dosa-dosanya, Kau kasihanilah dia dan terimalah segala amalan kebaikannya di dunia ini.
“Sama-sama kita doakan semoga rohnya dicucuri rahmat & ditempatkan bersama orang-orang yang beramal soleh. Allahumma-Amin,” katanya di sini hari ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Kuning itu meninggal dunia selepas tidak sedarkan diri ketika menyertai perlawanan bola sepak persahabatan empat penjuru di Stadium Bandaraya di George Town, Pulau Pinang kira-kira pukul 6 petang tadi.
Bekas pemain kebangsaan itu sempat diberikan rawatan awal di lokasi kejadian sebelum wakil rakyat yang berumur 59 tahun itu dilaporkan menghembus nafas akhir ketika dikejarkan ke Hospital Pulau Pinang bagi mendapat rawatan lanjut.
Pada PRU15 (Pilihan Raya Umum Ke-15) sebelum ini, Ishsam yang pertama kali bertanding memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning mengalahkan empat calon lain dengan majoriti 2,213 undi.
Allahyarham yang dilahirkan pada 31 Ogos 1966 di Sungkai itu juga merupakan bekas pemain bola sepak kebangsaan dan Perak sekitar tahun 80-an dan 90-an.
Dia adalah antara pemain bola sepak yang seangkatan dengan maestro negara, Azizul Abu Haniffah serta pemain-pemain seperti Mohd. Nidzam Adzha Yusoff, Roafandi Yusoff, Zaidi Napiah, Chan Kok Heng, A Elangovan dan Mohd Nazrin Chong.
Beliau meninggalkan seorang balu, Rozlita Abdullah dan empat zuriat masing-masing dua lelaki dan perempuan.
Ishsam pernah memegang beberapa jawatan termasuk Ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk), Presiden Persatuan Bola Sepak Melayu Perak, Presiden Bola Sepak Daerah Batang Padang dan Penaung Akademi Bola Sepak Ishsam. – UTUSAN