PARIT: Mayat seorang daripada dua remaja lelaki yang dilaporkan hilang selepas dihanyutkan arus Sungai Perak di Kampung Tepus di sini semalam, berjaya dijumpai sebentar tadi.
Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintenden Hafezul Helmi Hamzah berkata, jasad Muhammad Nazrin Haidar Mohd. Hisham, 16, ditemukan pasukan penyelamat pada pukul 4.45 petang.
Katanya, lokasi remaja itu dijumpai tidak jauh dari kawasan mangsa terjatuh dan dihanyutkan arus.
“Jasad mangsa timbul di permukaan sungai selepas pihak bomba menggunakan kaedah pusaran bot di lokasi kali terakhir dua remaja itu dilihat.
“Mayat mangsa dibawa ke tebing dan disahkan sebagai Muhammad Nazrin Haidar oleh ahli keluarganya,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Menurut beliau, mayat mangsa dihantar ke Hospital Seri Iskandar untuk proses bedah siasat.
“Usaha mengesan seorang lagi mangsa akan diteruskan oleh pasukan penyelamat sehingga dijumpai,” katanya.
Dalam kejadian sekitar pukul 4 petang semalam, Muhammad Nazrin Haidar dan Muhammad Naufal Aiman Dzulkarnain masing-masing berusia 16 tahun hilang dibawa arus ketika cuba mengambil bola yang jatuh ke dalam sungai.
Sebelum kejadian, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Muhammad Shah itu bersama tiga lagi rakan bermain bola di kawasan beting pasir sungai berkenaan.
Operasi mencari dan menyelamat (SAR) kedua-dua mangsa diaktifkan selepas pihak bomba menerima maklumat mengenai kejadian itu pada pukul 4.21 petang. – UTUSAN