LUMUT: Mayat seorang lelaki ditemukan di dalam tangki simpanan air kosong di Pelantar Ikan di Kampung Sungai Pinang Besar, Pulau Pangkor, petang tadi.
Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Hasbullah Abdul Rahman berkata, mayat itu ditemukan oleh pekerja pelantar yang mahu membuka paip utama berdekatan tempat kejadian.
Katanya, pekerja itu kemudian terhidu bau busuk dari dalam tangki simpanan air, lantas memeriksa tangki tersebut dan menemui mayat yang telah kembung, sebelum melaporkan kepada pihak polis kira-kira pukul 3.15 petang.
“Sebaik menerima aduan itu, sepasukan anggota dari Balai Polis Pangkor pergi ke lokasi tersebut bagi mengesahkan kejadian itu.
“Siasatan awal polis di tempat kejadian menemui lelaki dalam keadaan terlungkup dan tidak sedarkan diri dalam tangki simpanan air tersebut,” katanya di sini hari ini.
Beliau berkata, pemeriksaan oleh Pembantu Pegawai Perubatan Klinik Kesihatan Pangkor mengesahkan mangsa telah meninggal dunia.
Katanya, mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Seri Manjung untuk proses bedah siasat.
Beliau berkata, identiti mangsa telah dikenal pasti dan waris mangsa telah dapat dikesan oleh pihak polis.
Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian itu agar menyalurkannya ke Balai Polis Pangkor atau menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung di talian 05-6886222 dsn hotline WhatsApp 014-6828005. – UTUSAN