Masjid Al-Ikhlas tamatkan penantian lebih 30 tahun penduduk

Masjid Al-Ikhlas tamatkan penantian lebih 30 tahun penduduk

AMINUDDIN Harun (duduk, lima dari kanan) bergambar bersama para pegawai kanan kerajaan dan ahli kariah Bukit Kepayang pada majlis penyerahan Masjid Al-Ikhlas oleh JKR kepada JHEAINS di Taman Bukit Kepayang, Seremban, Negeri Sembilan. -UTUSAN/NAZARUDIN SHAHARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Selepas lebih 30 tahun menanti, kira-kira 1,000 umat Islam dalam kariah Bukit Kepayang menzahirkan perasaan syukur dengan pembukaan Masjid Al-Ikhlas di Taman Bukit Kepayang di sini.

Pengerusi penaja jawatankuasa masjid, Baharudin Ali berkata, mereka telah menunggu sejak 1990 untuk pembinaannya bagi kemudahan umat Islam dalam kariah berkenaan.

Katanya, sebelum ini orang ramai perlu ke masjid di Seremban 2 atau Taman Bukit Chedang sejauh lebih empat kilometer (km) untuk menunaikan solat Jumaat dan program keagamaan lain.

“Sejak 1990 beberapa usaha telah dibuat untuk mendirikan masjid ini, namun tidak dapat direalisasikan atas sebab-sebab tertentu.

“Akhirnya hari ini ia berjaya disiapkan dan kami dalam kariah ini berasa syukur dan mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang telah bekerja keras memastikan pembinaan masjid ini menjadi kenyataan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Majlis penyerahan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) kepada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) baru-baru ini telah disaksikan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun.

Yang turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan, Datuk Mohd. Zafir Ibrahim dan Mufti Kerajaan Negeri Sembilan, Prof. Madya Datuk Dr. Faudzinaim Badaruddin.

Masjid itu dibina di kawasan seluas 1.35 hektar dengan peruntukan sebanyak RM3.6 juta daripada Pejabat Pembangunan Negeri Sembilan, Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri.

Kerja-kerja pembinaan telah dimulakan sejak Julai 2023 dan siap bulan lalu.

Sementara itu, Aminuddin menyifatkan pembukaan masjid itu tepat pada waktunya ketika umat Islam akan menyambut ketibaan Ramadan tidak lama lagi.

“Maka sempatlah pihak kariah masjid membuat persiapan bagi memastikan solat tarawih pada tahun ini boleh dilaksanakan di masjid baharu ini.

“Untuk makluman, atas usaha semua pihak, projek ini telah dapat disiapkan lebih awal dari tarikh kontrak iaitu pada 31 Januari lalu atau kira-kira sebulan lebih awal daripada tarikh siap kontrak,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya