PETALING JAYA: Pelakon, Intan Najuwa, 28, bersyukur kerana masih ditawarkan untuk memegang watak utama meskipun kini dia sudah bergelar isteri dan ibu kepada seorang cahaya mata.
Kata Intan atau nama sebenarnya, Intan Najuwa Abdul Wahid, dia berterima kasih kepada produser yang masih memberi kepercayaan kepadanya membawa watak penting.
“Alhamdulillah, itulah yang dikatakan rezeki. Setakat ini, masih sama, saya masih terima tawaran bawa watak utama.
“Apa pun saya terima tawaran bersesuaian. Manalah tahu, selepas ini ada penerbit yang tawarkan kepada saya watak ibu pula, kenapa tidak? Sesuai juga dengan status saya sekarang,” katanya berseloroh.
Intan ditemui sempena program Iftar Buffet with Rabbani & Friends di Ruang Rama, di sini baru-baru ini.
Intan atau nama sebenarnya, Intan Najuwa Abdul Wahid selamat menimang cahaya mata sulung, Imane Lunara pada Disember tahun lepas.
Pelakon yang popular menerusi drama Tuan Danial itu selamat bergelar isteri kepada usahawan, Datuk Azraf Azman, 39, pada Ogos 2023.
Anak kelahiran Johor Bahru ini sementara itu memaklumkan merancang untuk kembali aktif berlakon sekitar pertengahan tahun ini.
“Ikut perancangan, memang saya nak berlakon semula. Tapi saya ikut sahaja keadaannya.
“Buat masa ini, ada beberapa tawaran yang terpaksa saya tolak. Saya maklumkan masih dalam tempoh bertenang dalam beberapa bulan, jadi mereka faham yang bahawasanya masa saya sedikit terhad selepas melahirkan cahaya mata pertama.
“Apa pun saya akan kembali berlakon, mungkin pertengahan tahun ini, Insya-Allah,” kongsinya. – UTUSAN