KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membidas kenyataan Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainuddin yang mendakwa kerajaan gagal membantu golongan petani dalam menghadapi kenaikan kos diesel serta harga lantai padi yang rendah.
Menurut Anwar, Hamzah kini cuba menjadi ‘hero’ sedangkan ketika berkuasa dahulu, beliau tidak mengambil sebarang tindakan untuk membantu golongan petani.
“Majoriti petani faham kita dah belanja RM2.4 bilion, tak perlu jerit-jerit. Saya nak sebut di sini sebab seolah-olah dia (Hamzah) nak jadi hero.
“Masa dia ada kuasa, dia tak buat. Itu yang saya nak bangkitkan. Nak jadi hero sekarang boleh, tetapi bezanya kita sudah pun menaikkan harga padi pada 2023, menaikkannya lagi pada 2024 dan Menteri (KPKM) akan umumkan kenaikan selanjutnya minggu depan.
“Maknanya, kita mendengar dan mengambil tindakan, majoriti petani serta pesawah faham. Subsidi RM2.4 bilion yang diberikan juga adalah satu penambahan besar jika dibandingkan dengan tahun-tahun sebelumnya,” katanya dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.
Mengulas lanjut, Anwar turut mempersoalkan mengapa kerajaan terdahulu yang diterajui Perikatan Nasional (PN) tidak mengambil langkah sewajarnya untuk membantu golongan petani semasa mereka berkuasa.
“Masa berkuasa kamu (PN) leka, masa tidak berkuasa baru mahu bersuara. Saya nak sebut di sini bahawa selagi kita ada kuasa, saya akan lakukan apa yang termampu.
“Termasuk tambahan RM1 bilion di Kedah untuk kawasan MADA (Lembaga Kemajuan Pertanian Muda), yang tidak dibuat dan difikirkan sebelum ini,” katanya.
Dalam pada itu, Anwar turut menegaskan bahawa mana-mana petani atau pesawah yang terbeban dengan kos diesel boleh menghantar nama mereka kepada kerajaan untuk mendapat bayaran balik.
“Dalam program Padu (Sistem Pangkalan Data Utama), kita telah beri jaminan kepada petani, penternak dan pesawah bahawa hak mereka akan diberikan.
“Selain itu, RM600 yang diberikan sebagai subsidi diesel kepada golongan terbabit sudah mencukupi untuk menampung kos bahan bakar tersebut,” jelasnya. – UTUSAN