GEORGE TOWN : Sebanyak 7,852 kes jenayah penipuan dalam talian direkodkan di Pulau Pinang, melibatkan kerugian sehingga RM312.86 juta sepanjang tempoh tiga tahun bermula 2022 hingga 2024, dengan kes penipuan telekomunikasi mencatatkan angka tertinggi iaitu 2,938 kes yang mencatatkan nilai kerugian RM101.5 juta.
Timbalan Ketua Polis negeri, Datuk Mohd. Alwi Zainal Abidin berkata, ia diikuti penipuan e-dagang yang merekodkan sebanyak 2,204 kes dengan jumlah kerugian kira-kira RM34.3 juta.
“Penipuan pelaburan tidak wujud juga menunjukkan peningkatan yang agak ketara iaitu sebanyak 1,242 kes dengan membabitkan jumlah kerugian tertinggi setakat ini iaitu sebanyak RM126.8 juta.
“Secara keseluruhannya, trend jenayah dalam talian di negeri ini khususnya, terus menunjukkan peningkatan dari segi jumlah kes dan nilai kerugian pada setiap tahun.
“Situasi ini sekaligus memberitahu kita bahawa, modus operandi sindiket penipuan ini sebenarnya semakin berkembang dan boleh mengancam sesiapa sahaja,” katanya ditemui pada Majlis Pelancaran Kod QR Kesedaran Scam (Mini-App/Infographics) di sini hari ini.
Turut hadir Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) Pulau Pinang, Datuk Seri Ong Poh Eng.
Mohd. Alwi berkata, secara purata tujuh kes direkodkan setiap hari di Pulau Pinang sepanjang tempoh tiga tahun itu dengan anggaran purata kerugian sehari direkodkan sebanyak RM36,164 oleh setiap individu yang menjadi mangsa.
“Berdasarkan kes-kes sebelum ini, kebanyakan mangsa ditipu terdiri daripada pelbagai latar belakang termasuk golongan profesional seperti pensyarah, guru, pekerja kilang dan sebagainya dan rata-rata mangsa terpedaya kerana ditawarkan dengan jumlah pulangan pelaburan yang tinggi,” katanya.
Sementara itu mengenai kod QR Kesedaran Scam (Mini-App/Infographics), dilancarkan pada majlis itu, ia dilengkapi dengan infografik mudah difahami dan inisiatif berkaitan yang bertujuan mendidik masyarakat mengenai langkah-langkah yang perlu diambil bagi mengelakkan diri daripada menjadi mangsa penipuan oleh scammer.
Selain mudah diakses, ia boleh dimuat turun dan digunakan oleh orang ramai di mana sahaja mereka berada bagi memudahkan mereka menyalurkan sebarang maklumat atau aduan berkaitan jenayah penipuan dalam talian. – UTUSAN