GEORGE TOWN : Sebanyak 7,852 kes jenayah penipuan dalam talian atau ‘online’ yang melibatkan kerugian sehingga RM312.86 juta direkodkan di Pulau Pinang untuk tempoh tiga tahun bermula 2022 hingga penghujung tahun lepas.
Timbalan Ketua Polis negeri, Datuk Mohd. Alwi Zainal Abidin berkata, daripada jumlah itu, jenayah penipuan telekomunikasi merekodkan bilangan kes tertinggi iaitu sebanyak 2,938 kes dengan nilai kerugian mencecah RM101.5 juta.
Beliau berkata, ini diikuti oleh penipuan e-dagang yang merekodkan sebanyak 2,204 kes dengan jumlah kerugian kira-kira RM34.3 juta.
“Sementara itu, penipuan pelaburan tidak wujud juga menunjukkan peningkatan yang agak ketara iaitu sebanyak 1,242 kes dengan membabitkan jumlah kerugian tertinggi setakat ini iaitu sebanyak RM126.8 juta.
“Untuk pengetahuan, secara keseluruhannya, trend jenayah dalam talian di negeri ini khususnya, terus menunjukkan peningkatan dari segi jumlah kes dan nilai kerugian pada setiap tahun.
“Situasi ini sekaligus memberitahu kita bahawa, modus operandi sindiket penipuan ini sebenarnya semakin berkembang dan boleh mengancam sesiapa sahaja,” katanya.
Beliau ditemui pada Majlis Pelancaran Kod QR Kesedaran Scam (Mini-App/Infographics) yang turut dihadiri oleh Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) Pulau Pinang, Datuk Seri Ong Poh Eng serta beberapa kenamaan lain di Penang Golf Club Bukit Jambul di sini, hari ini.
Kod QR Kesedaran Scam itu dilengkapi dengan infografik yang mudah difahami serta inisiatif berkaitan yang bertujuan mendidik masyarakat mengenai langkah-langkah yang perlu diambil bagi mengelakkan diri daripada menjadi mangsa penipuan oleh ‘scammer’.
Difahamkan, kod QR itu bukan sahaja mudah untuk diakses, tetapi, boleh dimuat turun dan digunakan oleh orang ramai di mana sahaja mereka berada bagi memudahkan mereka menyalurkan sebarang maklumat atau aduan berkaitan jenayah penipuan dalam talian.
Mengulas lanjut mengenai kes penipuan dalam talian di negeri ini, Mohd. Alwi memberitahu, secara puratanya juga, terdapat tujuh kes direkodkan setiap hari di Pulau Pinang sepanjang tempoh tiga tahun itu.
Ujarnya, anggaran jumlah purata kerugian dalam sehari yang direkodkan pula adalah sebanyak RM36,164 oleh setiap individu yang menjadi mangsa ‘scammer’ ini.
“Berdasarkan kes-kes sebelum ini, kebanyakan mangsa yang ditipu terdiri daripada pelbagai latar belakang termasuk golongan profesional seperti pensyarah, guru, pekerja kilang dan sebagainya,” katanya yang memberitahu, rata-rata mangsa terpedaya kerana ditawarkan dengan jumlah pulangan pelaburan yang tinggi.-UTUSAN