KUALA LUMPUR: Pelakon, Linda Hashim memilih untuk mengunci mulut dari mengulas dakwaan bahawa dirinya merupakan mangsa keganasan rumah tangga sekali gus menjadi punca dirinya memfailkan perceraian terhadap aktor, Beego, Januari lalu.
Kata Linda atau nama lengkapnya, Norhazlinda Hashim, 41, seeloknya soalan itu ditujukan kepada Beego sendiri selain enggan memanjangkan cerita.
“Itu boleh tanya Beego sendiri. Saya tidak mahu komen lebih-lebih dan panjangkan cerita. Cukuplah apa yang saya rasa ini sebab semua saya sudah lalui,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Nekad meletakkan titik noktah pada bahtera yang sudah dibina selama 12 tahun itu, Linda enggan berpatah balik serta yakin dirinya sudah cukup memberi peluang dan berusaha mempertahankan rumah tangganya.
“Untuk makluman semua, ini adalah permohonan untuk bercerai kali ketiga yang telah dibuat. Jadi, saya nekad untuk meneruskan perceraian kali ketiga ini.
“Sebelum adanya kali ketiga ini kan adanya peluang pertama dan kedua? Jadi, (peluang) kali pertama dan kali kedua itu sepatutnya harus dijaga dan diperbaiki tetapi saya tak nampak (kebaikan).
“Saya akui perceraian kali ketiga ini adalah keputusan yang sukar tapi ianya bersebab,” jelasnya.
Linda yang dilihat sugul, bagaimanapun menangkis dakwaan itu sebaliknya mengakui dirinya dalam keadaan tenang.
Hari ini, Linda hadir di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur bagi menjalani proses sebutan pertama kes perceraian bersama Beego.
Namun, sesi mahkamah tersebut telah ditangguhkan ke tarikh sebutan seterusnya iaitu pada 6 Mac depan kerana ketidakhadiran Beego, hari ini.
Menurut peguam yang mewakili Linda, Nurul Fadzilah Kamaluddin, anak guamnya telah memfailkan perceraian di bawah Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan 1986 atas sebab sudah tiada persefahaman.
Pada Januari lalu, Linda dikhabarkan telah memfailkan perceraian buat kali ketiga terhadap suaminya itu atas alasan sudah tiada persefahaman.
Sebelum ini, Linda dan Beego pernah hadir ke mahkamah yang sama pada Mei 2023 bagi membatalkan tuntutan nafkah dan hak penjagaan anak susulan mencapai kata sepakat untuk rujuk semula pada 9 April 2023 selepas bercerai pada 27 Mac 2023. -UTUSAN