PETALING JAYA: Malaysia dan Uzbekistan menyasar untuk membangunkan zon perindustrian bersama di negara Asia tengah itu bagi membuka peluang baharu pelaburan strategik dan pertumbuhan ekonomi yang lebih mampan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Uzbekistan, Shavkat Mirziyoyev berkata, zon perindustrian itu membuka ruang bagi memperkenalkan amalan terbaik dan kepakaran dalam pembangunan dan operasi taman perindustrian.
“Di samping itu, ini juga akan memupuk kerjasama dalam menarik syarikat pengurusan, pengurus taman dan pelabur lain untuk mengambil bahagian dalam perancangan dan pembangunan zon perindustrian di Uzbekistan,” katanya dalam satu kenyataan bersama hari ini.
Terdahulu, Shavkat diberikan sambutan rasmi dan pemeriksaan pasukan Kawalan Kehormatan Utama daripada Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja.
Ini adalah lawatan pertama Shavkat ke negara ini sejak dilantik sebagai Presiden pada Disember 2016 di samping kunjungan balas susulan lawatan Anwar ke Uzbekistan pada Mei tahun lalu.
Selain itu, kedua-dua pemimpin turut menekankan kepentingan meningkatkan kerjasama ekonomi dalam sektor utama seperti tenaga boleh baharu, industri halal, pendigitalan, kecerdasan buatan (AI), pembangunan bandar pintar dan pembangunan pemula niaga, antara lainnya untuk memberikan manfaat bersama bagi kedua-dua negara.
“Malaysia dan Uzbekistan juga berminat untuk meneroka perkongsian dalam industri minyak sawit,” katanya.
Sementara itu, Uzbekistan sekali lagi mengulangi hasrat untuk menjalin kerjasama dengan Petronas khususnya dalam bidang sektor petrokimia dan penyelesaian tenaga hijau bersih.
“Petronas berbesar hati untuk menyokong usaha ini dengan menjalin kerjasama dari segi sokongan teknikal, pertukaran maklumat dan perundingan bagi bidang kepentingan berkaitan, di samping meneroka peluang untuk melaksanakan bersama projek pelaburan yang saling menguntungkan,” katanya.
Dalam pada itu, Kedua-dua pemimpin juga bersetuju untuk mengukuhkan kerjasama dengan memanfaatkan Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026) dan meneroka peluang dalam pelancongan Islam dan Halal.
Ini termasuk program ‘Umrah+’ untuk mempromosikan Malaysia dan Republik Uzbekistan sebagai destinasi pelancongan sebelum atau selepas mengerjakan umrah untuk pelawat dari kedua-dua negara.
“Kedua-dua pemimpin bersetuju untuk menggunakan penerbangan terus Kuala Lumpur-Tashkent melalui Uzbekistan Airways dan Batik Air Malaysia bagi meningkatkan kebolehcapaian pengangkutan,” katanya.-UTUSAN