PUTRAJAYA: Malaysia dan Turkiye akan meningkatkan bidang kerjasama terutama dalam industri pertahanan dan pertukaran teknologi sekali gus mampu menambah pelaburan dan mencapai sasaran nilai dagangan melebihi AS$10 bilion.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ini termasuk memberi tumpuan dalam sektor semikonduktor, komoditi, elektrik dan elektronik, makanan dan minuman.
Beliau berkata, selain itu, kerjasama bidang tenaga diperluaskan bersama Petronas dan syarikat-syarikat berkaitan, industri halal, kesihatan dan digital serta pengurusan bencana.
“Kami bersetuju untuk meningkatkan hubungan dua hala dengan penubuhan Majlis Kerjasama Strategik peringkat tinggi melalui beberapa perjanjian dan memorandum persefahaman (MoU) antara kedua-dua pihak.
“Dengan usaha ini sasaran untuk meningkatkan pelaburan perdagangan daripada AS$5 bilion kepada AS$10 bilion mampu dicapai. Tiada sebab mengapa ekonomi yang sedang membangun seperti Malaysia dan Turkiye, tidak boleh meningkatkan perdagangan antara dua negara,” katanya dalam sidang akhbar bersama Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan di sini hari ini.
Anwar berkata, Kerajaan Turkiye memberi kepercayaan dan keyakinan kepada pihak berkuasa lapangan terbang, Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB) untuk meneruskan kerjasama dengan Lapangan Terbang Sabiha Gökçen Istanbul.
Katanya, Malaysia akan terus bekerjasama seiring dengan pihak berkuasa tempatan, syarikat pembinaan tempatan kerana menunjukkan kejayaan luar biasa dalam pengurusan syarikat penerbangan dan lapangan terbang yang bukan sahaja hebat di Turkiye, malah dianggap sebagai contoh cemerlang di Eropah dan dunia.
Dalam pada itu, Erdogan berkata, sebagai dua negara yang telah menubuhkan perkongsian strategik yang komprehensif, pihaknya akan terus meningkatkan hubungan dengan menubuhkan Majlis Kerjasama Strategik Peringkat Tinggi.
Dalam mesyuarat yang diadakan hari ini, pihaknya menilai langkah-langkah untuk mengukuhkan hubungan dengan Malaysia melalui 11 perjanjian yang ditandatangani untuk meningkatkan pergerakan dan kepelbagaian dalam bidang perdagangan dan pelaburan.
“Saya berharap kerjasama ini akan menjadi peluang untuk model kerjasama dan projek pelaburan baharu. Kami akan terus berusaha dalam bidang industri pertahanan, pemindahan teknologi dan pengeluaran bersama.
“Syarikat-syarikat kami bersedia untuk berkongsi pengalaman dan produk mereka dengan Malaysia dalam cara yang memberi manfaat kepada kedua-dua negara termasuk sektor pelancongan, budaya dan pendidikan,” katanya.
Terdahulu, Malaysia dan Turkiye bertukar 11 Memorandum Persefahaman (MoU) bagi memperkukuh kerjasama dalam pelbagai sektor, bersempena lawatan rasmi dua hari Erdogan ke Malaysia meliputi bidang utama seperti peralihan tenaga, pengurusan bencana, pertahanan, perdagangan dan kolaborasi media.
Antara perjanjian penting yang dimeterai ialah MoU kerjasama dalam peralihan tenaga di antara Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Fadillah Yusof dan Menteri Tenaga dan Sumber Asli Turkiye Alparslan Bayraktar.
Dalam bidang pengurusan bencana, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) bertukar MoU dengan Agensi Pengurusan Bencana dan Kecemasan Turkiye (AFAD), selain kedua-dua negara turut memeterai perjanjian dalam latihan diplomatik.
Bagi memperkukuh kerjasama saintifik, Yayasan Penyelidikan Antartika Sultan Mizan Malaysia dan Institut Penyelidikan Kutub Turkiye di bawah Majlis Penyelidikan Saintifik dan Teknologi (TUBITAK) bertukar MoU dalam penyelidikan Antartika dan Artik.
Kerjasama dalam sektor pertahanan turut diperkukuh dengan dua perjanjian utama. Pertama, perolehan kerajaan dengan kerajaan (G2G) dan penubuhan Jawatankuasa Bersama bagi Produk Pertahanan di antara Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Setiausaha Industri Pertahanan Turkiye, Prof. Aluk Gorgun.
Kedua, melibatkan sistem komunikasi strategik di antara Majlis Keselamatan Negara Malaysia dan Sekretariat Industri Pertahanan Turkiye.
Selain itu, pertukaran MoU di antara Selangor Aviation and Technology Innovation Sdn. Bhd. dengan Sekretariat Industri Pertahanan Turkiye dalam pembangunan bandar pintar, sistem trafik, dan keselamatan oleh Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.
Dalam bidang perdagangan, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup bertukar MoU dengan Kementerian Perdagangan Turkiye yang memberikan tumpuan kepada perlindungan pengguna, pemantauan pasaran dan pemeriksaan.
Selain itu, Kementerian Dalam Negeri (KDN) bertukar perjanjian dengan Desan Shipyard dari Turkiye bagi perolehan kapal misi pelbagai guna untuk Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).
Dalam sektor media, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bertukar MoU dengan Radio and Relevision Supreme Council (RTUK) Turkiye bagi kerjasama dalam perkhidmatan media audiovisual.
Sementara itu, Bernama dan Anadolu Ajansi turut memeterai perjanjian mengenai kerjasama maklumat dan komunikasi bagi memperkukuh hubungan media kedua-dua negara.
Pertukaran MoU itu menekankan perkongsian yang semakin erat antara Malaysia dan Turkiye serta mencerminkan komitmen kedua-dua negara dalam memperdalam hubungan strategik, ekonomi dan budaya.
Pada tahun 2024, Turkiye merupakan rakan dagang ketiga terbesar Malaysia, destinasi eksport utama, serta sumber import keempat terbesar dalam kalangan negara Asia Barat.
Dagangan antara Malaysia dan Turkiye pada 2024 berjumlah RM24.13 bilion (AS$5.28 bilion), meningkat 18.7 peratus berbanding 2023. – UTUSAN