SIK: Sebanyak 102 tan dadah dan racun bernilai RM1.67 bilion merangkumi jenis sintetik dan konvensional termasuk ketum dirampas Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam operasi dan serbuan dilaksanakan sejak Mac 2024 hingga 16 Februari lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Seri Khaw Kok Chin berkata, methamphetamine menjadi dadah tertinggi yang dirampas iaitu 39,397 kilogram (kg) diikuti ganja sebanyak 3,203kg dan ekstasi berjumlah 2,513kg.
Katanya, rampasan ketum pula melibatkan 53,879kg bahan itu, di samping ketamin (946kg); pil yaba (786kg); pil erimin 5 (758kg); heroin (596kg); kokain (89kg) dan lain-lain (301kg).
“Sebanyak 219 sindiket melibatkan 675 tangkapan berjaya ditumpaskan dalam tempoh itu. Secara keseluruhannya, seramai 248,885 tangkapan berjaya dilakukan iaitu paling ramai 149,910 kerana positif urine (air kencing) dan bakinya akibat membekal dan memiliki.
“Tangkapan melibatkan penjawat awam pula seramai 719 orang dengan 365 daripadanya akibat urine diikuti 287 (memiliki); 61 (bekalan) dan Langkah-Langkah Pencegahan Khas (6),” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sik hari ini.
Pada minggu lalu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, trend penyalahgunaan dadah dalam tempoh tiga tahun ini merekodkan peningkatan ketara apabila seramai 192,857 orang terlibat pada tahun lalu sekali gus meletakkan kegiatan itu dalam keadaan membimbangkan.
Katanya, berbanding tahun 2023, mereka yang terlibat penyalahgunaan dadah adalah seramai 145,526 orang dan 137,176 orang pula pada 2022.
Tambah Kok Chin, kadar pertuduhan di mahkamah pula merekodkan 93.58 peratus, manakala nilai harta disita sebanyak RM98.1 juta selain RM11.5 juta adalah nilai harta dilucut hak akibat kesalahan dadah.
“Bagaimanapun saya ingin menjelaskan bahawa negara kita masih menjadi lokasi transit untuk dadah-dadah ini dihantar ke negara ketiga menggunakan kontena disebabkan permintaan yang tinggi.
“Sebagai contoh jika syabu bernilai RM33,000 ke RM35,000 untuk satu kg, ia boleh mencecah RM450,000 di negara lain. Jadi dengan jumlah itu tidak mustahil negara kita akan terus menjadi lokasi transit bahan ini,” ujarnya.
Kok Chin berkata, pihaknya bersama pengurusan tertinggi Kementerian Dalam Negeri juga sentiasa mencari formula berkesan untuk mengekang kegiatan dadah di negara ini.
Pada 24 Disember lalu, akhbar ini melaporkan Malaysia dipercayai dijadikan sebagai transit oleh sindiket dari Thaiand untuk menyimpan dadah sebelum diseludup ke negara lain khususnya Australia dan negara Eropah.
Sindiket terbabit yang memproses dan mengedar dadah jenis methamphetamine atau syabu itu dihasilkan di kawasan utara Thailand sebelum dibawa ke selatan negara itu.
Komander Tentera Bahagian Keempat Thailand, Leftenan Jeneral Paisan Nusang mendedahkan, selepas memproses dadah jenis methamphetamine di kawasan utara Thailand, sindiket akan menghantar barang terlarang tersebut merentasi Sungai Golok untuk memasuki Malaysia.-UTUSAN