PETALING JAYA: Malaysia menyatakan komitmen berterusan untuk membantu Palestin termasuk berusaha menamatkan penjajahan dan penempatan haram Israel di Gaza.
Pendirian itu disampaikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menerima panggilan telefon lewat malam tadi daripada rakan sejawatnya yang juga Menteri Luar Qatar, Sheikh Mohammed bin Abdulrahman Al-Thani bagi membincangkan situasi terkini di Gaza.
Kata Anwar, Malaysia menyokong setiap inisiatif untuk membela nasib Palestin dengan teguh, termasuk menyediakan bantuan kemanusiaan.
Perdana Menteri berkata, perbualan itu menumpukan kepada perlanggaran syarat gencatan senjata yang dilakukan oleh rejim Zionis Israel, yang dilihat sengaja melengahkan proses perdamaian sedang diusahakan oleh pelbagai pihak termasuk kerajaan Qatar, Mesir dan Amerika Syarikat (AS).
“Malaysia akan tetap terus menyokong setiap usaha bagi menamatkan penjajahan dan pendudukan Israel di bumi Gaza,” katanya dalam kenyataan.
Dalam pada itu, Anwar menyanjung usaha gigih yang dilakukan Sheikh Mohammed dalam mencari jalan untuk menghentikan segera kekejaman rejim Zionis ke atas penduduk Gaza serta mencapai perdamaian yang berkekalan.
Anwar turut menegaskan komitmen berterusan Malaysia untuk terus menyokong setiap inisiatif perdamaian, termasuk memberi bantuan kemanusiaan kepada penduduk Gaza.
Malaysia dan Qatar merupakan antara negara yang lantang membela nasib rakyat Palestin termasuk membantah tindakan Israel untuk melakukan serangan berterusan terhadap penduduk Gaza.
Selain itu, Qatar merupakan pihak yang memainkan peranan penting dalam merealisasikan gencatan senjata api antara Hamas dan Israel.
Terbaharu, Sheikh Mohammed menggesa Israel dan Hamas untuk segera memulakan rundingan bagi fasa kedua perjanjian gencatan senjata di Gaza.
Pada 19 Januari lalu, fasa pertama perjanjian gencatan senjata selama enam minggu antara Hamas dan Israel mula berkuat kuasa, yang membolehkan rundingan diteruskan bagi fasa seterusnya.
Perjanjian itu dimediasi oleh Mesir dan Qatar dengan sokongan AS.
Perjanjian gencatan senjata tiga fasa itu merangkumi pertukaran tahanan serta mengekalkan ketenangan, dengan matlamat utama untuk mencapai gencatan senjata sepenuhnya dan pengunduran tentera Israel dari Gaza.