PETALING JAYA: Malaysia dan Russia bersedia memperkukuh hubungan diplomatik dengan menjalin kerjasama dalam pelbagai bidang termasuk pertahanan dan keselamatan siber.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau hari ini menerima kunjungan hormat Setiausaha Majlis Keselamatan Persekutuan Russia, Sergei Shoigu yang dalam lawatan kerja ke Malaysia.
Beliau berkata, pelbagai perkara penting dibincangkan bersama yang diberi perhatian dalam pertemuan itu termasuk terkait bidang tertentu seperti ekonomi dan keselamatan.
“Dalam pertemuan, kami terus membincangkan beberapa perkara penting dalam meningkatkan hubungan dua hala termasuk isu pertahanan; keselamatan; ekonomi; perbankan; sains dan teknologi; keselamatan siber; jaringan perhubungan serta bidang latihan,” katanya dalam satu hantar di Facebook, hari ini.
Sewaktu pertemuan itu juga, Anwar berpeluang berkongsi hasil pertemuannya dengan Presiden Russia, Vladimir Putin sewaktu menghadiri Forum Ekonomi Timur pada tahun lalu.
“Saya juga berkongsi hasil pertemuan dengan Presiden Russia, Vladimir Putin sewaktu menghadiri Forum Ekonomi Timur pada September 2024.
“Ia satu platform penting untuk mempelbagaikan usaha diplomasi ekonomi negara dan meningkatkan kerjasama dengan negara anggota melalui inisiatif bersama serta perkongsian strategik.
“Sebelum pulang, saya zahirkan penghargaan di atas lawatan ini yang pastinya bakal membawa kepada kerjasama yang bermakna pada tahun-tahun mendatang,” katanya. – UTUSAN