KOTA TINGGI: Malaysia menegaskan komitmennya dalam memperkukuhkan perpaduan dan integrasi ekonomi ASEAN menerusi tema Inklusiviti dan Kelestarian.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, Malaysia mengalu-alukan sokongan berterusan daripada negara ASEAN dalam memastikan pembangunan yang berpaksikan rakyat sepanjang tahun ini.
“Malaysia mengalu-alukan sokongan berterusan daripada negara-negara ASEAN dalam memperkukuh perpaduan, menggalakkan integrasi ekonomi dan memastikan pembangunan yang berpusatkan rakyat sepanjang 2025.
“Meskipun berdepan cabaran ekonomi global, ASEAN terus menunjukkan daya tahan kukuh apabila jumlah dagangan keseluruhan pada 2023 mencecah AS$3.5 trilion (RM15.464 trilion) dengan lebihan dagangan sebanyak AS$ 96.7 bilion (RM431.5 bilion).
“Selain itu, aliran pelaburan langsung asing (FDI) ke rantau ini meningkat daripada AS$129.9 bilion (RM580 bilion) pada 2014 kepada AS$229.8 bilion (RM1,026 bilion) pada 2023. Unjuran pertumbuhan ekonomi ASEAN bagi 2024 dijangka mencapai 4.6 peratus dan meningkat kepada 4.7 peratus pada tahun ini,” katanya dalam ucapan pembukaan sesi tertutup Mesyuarat Pemukiman Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN (AEM) ke-31 di Desaru, dekat sini hari ini.
Tengku Zafrul mempengerusikan Permukiman AEM ke-31 di Desaru yang dihadiri lebih 200 delegasi dari 10 negara anggota ASEAN dan Timor-Leste.
Dalam permukiman itu, mereka dijangka membincangkan 18 Keberhasilan Ekonomi Berkeutamaan yang bertujuan memperkukuh integrasi serta hala tuju ekonomi serantau, meningkatkan keterangkuman, memperkasakan kemapanan dan merangsang perdagangan digital di rantau ASEAN.
Dalam pada itu, Tengku Zafrul menegaskan kepentingan mempercepatkan pelaksanaan Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) serta memperluaskan kerjasama dengan rakan global bagi memastikan kestabilan ekonomi ASEAN.
Katanya, Malaysia turut mencadangkan penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN-GCC ke-2 dan ASEAN-GCC-China sebagai langkah memperkukuhkan hubungan ekonomi luar blok.
“Perubahan geopolitik global menuntut ASEAN untuk lebih bersepadu serta memperluaskan jaringan kerjasama antarabangsa bagi mengurangkan kesan ketidaktentuan ekonomi,” katanya.
Beliau turut menyeru negara anggota ASEAN untuk terus mengutamakan keamanan, kestabilan serta kerjasama erat demi kemajuan bersama.
“Semangat solidariti ASEAN adalah tunjang kemajuan kita. Dengan pendekatan inklusif dan lestari, kita mampu membawa ASEAN ke tahap lebih tinggi dan memastikan tiada negara yang ketinggalan,” katanya. – UTUSAN