Malaysia, Mesir senada tolak usaha halau rakyat Palestin

Malaysia, Mesir senada tolak usaha halau rakyat Palestin dari bumi Gaza – Anwar

ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia dan Mesir senada menolak sebarang usaha menghalau rakyat Palestin keluar dari bumi Gaza kerana tindakan sedemikian akan memberi kesan buruk terhadap usaha mewujudkan sebuah negara Palestin yang merdeka.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau dan Presiden Mesir, Abdel Fattah El-Sisi, sependapat mengenai isu tersebut dalam perbualan telefon yang turut menyentuh perkembangan terkini isu kemanusiaan dan usaha pembangunan semula Gaza.

“Saya mengulangi pendirian Malaysia untuk terus membantu rakyat Palestin, khususnya dalam aspek bantuan kemanusiaan, perubatan dan pembangunan semula, serta menyokong perjuangan menuntut keadilan buat Palestin,” katanya menerusi hantaran di media sosial.

Anwar turut menyampaikan penghargaan kepada El-Sisi dan Kerajaan Mesir yang terus menghulurkan bantuan serta mempermudahkan usaha Malaysia dalam menyampaikan sumbangan kepada rakyat Palestin yang terkesan akibat serangan dan kekejaman genosid rejim Zionis Israel.

Dalam pada itu, El-Sisi menyatakan sokongan terhadap usaha yang digerakkan oleh Jepun dan Malaysia untuk membangunkan semula Gaza menerusi inisiatif Kerjasama Asia Timur Untuk Pembangunan Palestin (CEAPAD).

Beliau menegaskan, gerakan membantu Palestin akan lebih berkesan sekiranya lebih banyak negara bersolidariti dan bersama-sama dalam usaha ini.

Selain isu Palestin, Anwar dan El-Sisi turut membincangkan usaha memperkukuh hubungan dua hala Malaysia-Mesir.

Kedua-dua pemimpin menegaskan komitmen untuk memperkukuh kerjasama dalam pelbagai bidang termasuk ekonomi, pelaburan, perdagangan, pendidikan dan kebudayaan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya