KUALA LUMPUR: Pemain industri penerbangan di negara ini digesa mengambil langkah proaktif dalam memperkukuh industri berkenaan memandangkan Malaysia berhasrat untuk mempertahankan kerusi Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) bagi penggal 2025 hingga 2028.
Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah berkata, negara secara berterusan berusaha untuk mempertahankan kerusi Ahli Majlis ICAO selepas enam penggal berturut-turut mendudukinya.
Menurut beliau, pencapaian tersebut memberi peluang untuk menunjukkan kemajuan serta komitmen negara terhadap kecemerlangan penerbangan.
Oleh itu, jelasnya, kerjasama erat dalam kalangan semua pihak-pihak berkepentingan penerbangan penting dalam mencapai matlamat tersebut.
“Sejajar dengannya, saya menggesa pihak industri mengambil langkah proaktif dalam memperkukuh sektor penerbangan. Ini termasuk memodenkan infrastruktur syarikat dan lapangan terbang.
“Ini supaya dapat menarik lebih banyak syarikat penerbangan antarabangsa serta melabur dalam pendigitalan dan inisiatif mampan,” katanya ketika berucap di sebuah majlis menghargai pencapaian Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) di sini hari ini.
Mengulas lanjut, lapangan terbang negara juga perlu mencerminkan kecekapan dan inovasi, selain menawarkan pengalaman perjalanan yang lancar dan menepati piawaian global.
Selain itu, katanya, industri penerbangan perlu membina tenaga kerja yang berkemahiran tinggi dan bersedia menghadapi cabaran luaran seperti ketidaktentuan ekonomi, gangguan rantaian bekalan dan perubahan dalam jangkaan pengguna.
“Untuk terus maju, kita perlu tangkas, berpandangan jauh dan melangkaui sekadar pematuhan peraturan dengan berusaha mencapai kecemerlangan di setiap peringkat.
“Pemikiran ini adalah kunci kepada pertumbuhan dan kejayaan berterusan industri penerbangan kita,” ujarnya. – UTUSAN