GEORGE TOWN: Malaysia menegaskan bahawa negara ini mempunyai pendirian jelas dalam menyokong gencatan senjata di Palestin dan berharap semua pihak yang terlibat mematuhinya.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, Malaysia berharap tiada sebarang pelanggaran terhadap gencatan senjata di Palestin berlaku, walaupun menyedari adanya laporan mengenai insiden tertentu.
“Kita jelas dalam keputusan menyokong gencatan senjata dan berharap semua pihak mematuhi perjanjian ini. Kita tahu ada pelanggaran berlaku, tetapi, kita tetap berharap tiada pelanggaran gencatan senjata.
“Saya tidak bercakap mengenai pendirian ASEAN dalam soal ini (Palestin) tetapi pendirian Malaysia sendiri,” katanya dalam sidang akhbar sempena Sesi Permukiman Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN (ADMM Retreat), di sini hari ini.
Beliau mengulas mengenai pendirian ASEAN dalam soal genjatan senjata di Palestin yang kini dicabuli Israel.
Terdahulu, media melaporkan, beberapa kediaman penduduk Palestin di bandar Rafah, selatan Semenanjung Gaza, dilaporkan terbakar selepas terkena tembakan tentera Israel semalam.
Menurut saksi, dron dan kereta kebal Israel melepaskan tembakan ke arah tengah Rafah, menyebabkan beberapa rumah musnah dalam kebakaran. Serangan tentera Israel turut dilaporkan di bahagian timur Gaza City, namun tiada kecederaan dilaporkan setakat ini.
Serangan baharu itu berlaku meskipun perjanjian gencatan senjata dan pertukaran tahanan telah dikuatkuasakan bulan lalu, yang menghentikan serangan ganas Israel yang mengorbankan lebih 48,300 nyawa dan memusnahkan Gaza.
Dalam pada itu, Mohamed Khaled berkata, bagi peringkat ASEAN, isu mengenai Palestin itu akan dibincangkan pada Mei nanti iaitu ketika Mesyuarat Ketua-Ketua Negara ASEAN berlangsung. – UTUSAN