Malaysia ‘lubuk’ e-waste dunia

Malaysia ‘lubuk’ e-waste dunia

KAKITANGAN Jabatan Alam Sekitar memeriksa kontena yang berisi sisa e-waste dan skrap logam yang ditahan di Pelabuhan Barat, Klang, Selangor. - UTUSAN/AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Selepas menjadi ‘tong sampah’ sisa plastik, Malaysia kini menjadi sasaran utama pembuangan bahan buangan terjadual atau sisa elek­trik dan elektronik (e-waste) yang diseludup secara haram ke negara ini.

Sejak beberapa tahun kebe­lakangan ini, Malaysia menjadi antara destinasi utama lambakan e-waste global khususnya dari Amerika Syarikat (AS), United Kingdom (UK), China, Jepun, Jerman, Bolivia, Oman dan India.

Seperti kebanyakan e-waste haram yang ditemui di Malaysia, sindiket pemerdagangan sisa ini menggunakan modus operandi yang melibatkan pemalsuan dokumen dan pengisytiharan kargo tidak tepat.

E-waste yang diseludup berkemungkinan diisytiharkan sebagai barangan lain, terutamanya sekerap logam atau peralatan elektrik dan elektro­nik terpakai (UEEE) yang dikla­sifikasikan sebagai barangan bo­leh dibaiki.

Lebih membimbangkan, sin­diket ini mungkin dikawal oleh entiti asing untuk mengaut keuntungan di negara lain.

Premis e-waste yang beroperasi tanpa permit sah menjalankan pemprosesan sisa buangan secara tidak terkawal sehingga menyebabkan pencemaran uda­ra, tanah dan air.

Namun, akibat kelemahan dalam penguatkuasaan, entiti ini dengan mudah dapat mendaftar dan membuka kilang di Malaysia sebagai pusat pemprosesan pertengahan sebelum bahagian e-waste yang boleh digunakan dieksport semula ke negara lain.

Isu ini perlu dipandang serius kerana e-waste mengandungi bahan toksik dan berbahaya seperti merkuri, plumbum, kadmium dan sebagainya.

Jika sisa ini tidak dilupuskan dengan kaedah yang betul dan selamat, ia berisiko mencemarkan alam sekitar serta memberi kesan negatif kepada kesihatan manusia.

Pegawai Penyelidik Alam Sekitar, Pusat Memerangi Korupsi dan Kronisme (C4 Center), Nabila Syuhada Zulkeflee berkata, berdasarkan laporan yang diterbitkan oleh C4 Center mengenai perdagangan sisa plastik, Jepun dikenal pasti sebagai salah satu negara pengeksport utama sisa plastik ke Malaysia.

Beliau berkata, dalam penyelidikan tersebut, pihaknya mendapati beberapa kes di mana penghantaran dari Jepun ke Malaysia gagal dan terpaksa dikembalikan.

Tambahnya, berdasarkan data daripada laman web Kementerian Alam Sekitar Jepun (MOEJ) antara tahun 2013 hingga 2022, sebanyak 25 penghantaran telah ditolak, dengan 18 daripadanya merupakan e-waste, manakala tiga lagi adalah sisa plastik.

“Modus operandi sindiket ini dikesan sama dengan penyeludupan sisa plastik iaitu menggunakan kontena yang diisytiharkan sebagai barangan lain sebelum dihantar ke negara ini.

“Lebih membimbangkan, sisa peluru dan peluru haram kini menjadi antara jenis sisa terbaru yang mula diseludup ke dalam negara,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Menurut laporan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) dalam sidang media Op Ha­zard pada 20 Februari, nilai rampasan hasil serbuan yang dijalankan sejak Januari 2024 terhadap premis pemprosesan e-waste haram te­lah mencecah RM3.8 bilion.

Rampasan membabitkan 22.9 juta kilogram (kg) e-waste, serta fasiliti seperti mesin pemproses, mesin penimbang berat, mesin pemprosesan timah dan sebagainya sebanyak RM83 juta.

Manakala bagi nilai rampasan kenderaan adalah sebanyak RM29 juta serta rampasan lain-lain seperti minyak, plastik, blok memasak dan sebagainya berjumlah RM 67.8 juta.

Nabila berkata, e-waste dika­tegorikan sebagai sisa terjadual di bawah Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005.

Secara umumnya, hanya operasi berlesen SW110 yang diperoleh daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS) dibenarkan untuk mengendalikan dan melupuskan e-waste.

Jelas beliau, ini menunjukkan bahan yang terkandung dalam e-waste bersifat toksik dan tidak boleh dibuang sewe­nang-wenangnya.

“Sekiranya pelupusan e-waste tidak dilakukan secara mesra alam, bahan toksik yang terkandung di dalamnya boleh mencemarkan air dan tanah, selain menyebabkan pencemaran bau dan udara akibat pembakaran terbuka.

“Sisa logam berat yang terkandung dalam e-waste boleh meresap ke dalam tanah dan mencemarkan ekosistem, menjejaskan tumbuhan, haiwan serta sumber makanan manusia,” jelasnya.

Nabila berkata, pemerhatian hasil lawatan tapak menunjukkan banyak lokasi pelupusan sampah haram yang terbiar dengan sebahagian daripadanya mengandungi timbunan sisa e-waste yang telah diproses dan dipotong kecil. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya