KUALA LUMPUR: Malaysia dan Kemboja terus memperkukuh hubungan dua hala dalam bidang perundangan menerusi pertemuan antara Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, dan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kehakiman Kemboja, Koeut Rith.
Katanya, pertemuan itu menyaksikan kedua-dua pemimpin bertukar pandangan mengenai usaha memperkasakan kerjasama perundangan antara kedua-dua negara.
“Dengan pertumbuhan ekonomi pesat di rantau ini, rangka kerja penyelesaian pertikaian yang kukuh dan menyeluruh amat penting dalam meningkatkan keyakinan pelabur dan pemain industri,” katanya menerusi satu kenyataan.
Dalam pertemuan itu, Azalina turut menjemput Rith untuk menghadiri Forum Perundangan ASEAN 2025 yang bakal berlangsung di Kuala Lumpur pada Ogos ini.
Forum itu akan menghimpunkan pakar undang-undang serta pihak berkepentingan dari seluruh ASEAN dan bakal berakhir dengan kenyataan bersama mengenai komitmen menteri-menteri undang-undang ASEAN terhadap matlamat bersama.
Selain itu, Azalina turut memaklumkan kepada Rith mengenai Konvensyen ASEAN 2025 mengenai Bantuan Guaman Kanak-Kanak, yang dijadual berlangsung pada Jun tahun ini.
Katanya, inisiatif itu bertujuan memperkukuh bantuan guaman kepada kanak-kanak di seluruh rantau ini, mencerminkan komitmen ASEAN dalam melindungi hak serta kebajikan golongan berkenaan.
“Saya amat menghargai layanan mesra serta kesediaan Timbalan Perdana Menteri Kemboja dan pegawai-pegawai Kementerian Kehakiman negara itu menerima delegasi Malaysia, yang mencerminkan semangat perpaduan dalam kalangan negara ASEAN,” jelasnya.– UTUSAN