PETALING JAYA: Malaysia menzahirkan penghargaan kepada Perancis atas sokongan terhadap pembangunan Gaza yang musnah akibat serangan dan kekejaman zionis Israel sebelum ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan penghargaan itu ketika menerima panggilan Presiden Perancis, Emmanuel Macron semalam.
Katanya, perbualan itu juga menyentuh hasil perkembangan kedua-dua pemimpin tersebut ketika menghadiri Sidang Kemuncak G20 di Rio De Janeiro, Brazil pada 19 November lalu.
“Hari ini kami senada untuk mempertingkat kerjasama dalam bidang pertahanan, ekonomi dan tenaga selain perdagangan, pelaburan, pelancongan dan juga kecerdasan buatan (AI).
“Saya turut menyatakan penghargaan kepada Macron di atas sokongan diberikan terhadap pembangunan semula Gaza ekoran kekejaman rejim zionis Israel sebelum ini.
“Kami juga sepakat untuk mencari jalan penyelesaian dalam isu berkaitan Myanmar dalam mewujudkan keamanan di negara itu menggunakan pendekatan diplomatik yang bersesuaian,” katanya dalam Facebook beliau.
Sebelum ini, Anwar dan Macron bertemu di Sidang Kemuncak G20 di Rio De Janeiro.
Dalam pertemuan itu, Perancis dan Malaysia mengeratkan hubungan dalam beberapa bidang, termasuk pertahanan, tenaga dan kerjasama di Indo-Pasifik.
Dalam pada itu, Anwar berkata, beliau turut menyatakan kesediaan kerajaan menerima kehadiran Macron dan delegasi ke Malaysia Mei ini dalam usaha meningkatkan lagi hubungan antara kedua-dua negara.-UTUSAN