Malaysia cadang perluas Rakan Dialog ASEAN kepada Turkiye

Malaysia cadang perluas Rakan Dialog ASEAN kepada Turkiye

ANWAR Ibrahim bersalaman dengan Reccep Tayyip Erdogan ketika kunjungan rasmi Presiden Turkiye ke Malaysia.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Malaysia akan mencadangkan untuk memperluaskan Rakan Dialog ASEAN membabitkan penyertaan Turkiye pada sidang kemuncak blok berkenaan tahun ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ini kerana terdapat keperluan mendesak untuk memperluaskan inisiatif terbabit seperti mana yang dilakukan membabitkan Kesatuan Eropah (EU), Kanada, New Zealand, Australia, China dan Jepun.

“Terdapat seruan mendesak untuk memperluaskan (penyertaan Rakan Dialog ASEAN) dan saya sudah berbincang dengan Menteri Luar, tahun ini untuk memastikan bahawa kita membawanya ke peringkat ketua-ketua kerajaan ASEAN.

“Kita mahu memastikan terdapat penyertaan yang mencukupi untuk diperlakukan dengan adil seperti yang kita lakukan kepada beberapa negara lain,” katanya dalam sidang akhbar bersama Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Erdogan menegaskan, sokongan kuat negara itu terhadap usaha memperkukuh hubungan dengan negara-negara Asia dan institusi serantau selaras dengan Inisiatif ‘Asia Anew’.

Dalam konteks ini, beliau mengalu-alukan kepengerusian Malaysia dalam ASEAN pada 2025 serta menyatakan keyakinan bahawa di bawah kepimpinan Malaysia, ASEAN akan terus maju dalam mencapai visi serantau berkaitan integrasi ekonomi dan kelestarian.

“Kedua-dua negara mengalu-alukan peluang untuk kerjasama lebih erat antara ASEAN dan Turkiye menerusi Perkongsian Dialog Sektoral ASEAN-Turkiye dan inisiatif berterusan yang berpandukan Bidang Kerjasama Praktikal ASEAN-Turkiye (2024-2028).

“Kedua-dua pihak mengiktiraf kerjasama dalam bidang utama seperti perdagangan dan pelaburan, sains dan teknologi, pelancongan, makanan dan pertanian, pengurusan bencana, pembangunan sumber manusia, pendidikan, dan pertukaran antara rakyat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya