PETALING JAYA: Malaysia membelanjakan lebih RM2 bilion setiap tahun untuk membiayai pembelian ubat generik terutamanya dalam sektor perubatan awam.
Jumlah ini dianggarkan merangkumi sekitar 25 peratus daripada keseluruhan perbelanjaan untuk semua jenis ubat di seluruh negara.
Penggunaan ubat generik dalam sektor awam dan swasta digalakkan untuk memastikan rakyat mendapat rawatan berkualiti pada harga yang lebih berpatutan selain ia terbukti selamat dan berkesan dalam merawat beberapa penyakit utama.
Ubat generik yang tersedia dalam pasaran ketika ini merangkumi pelbagai jenis termasuk antibiotik, ubat untuk hipertensi, diabetes, penyakit pernafasan dan masalah jantung.
Terdapat juga ubat generik untuk pelbagai rawatan umum yang sering digunakan oleh pesakit sebagai pilihan yang lebih berpatutan tanpa mengabaikan kualiti dan keberkesanan.
Pengarah Urusan Pharmaniaga Berhad, Zulkifli Jaafar berkata, keberhasilan ubat generik bergantung pada keadaan kesihatan individu dan cara pengambilan ubat tersebut.
Kata beliau, ubat generik yang dihasilkan oleh Pharmaniaga misalnya sudah mendapat kelulusan dari Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA).
“Keberkesanan ubat yang dihasilkan terbukti sama dengan ubat asal dari segi rawatan dan ujian klinikal, berdasarkan kepada data dan kajian yang dijalankan.
“Menurut laporan IQVIA, Malaysia menggunakan lebih RM2 bilion untuk pembiayaan ubat generik setahun terutamanya sektor perubatan awam dengan anggaran sebanyak 25 peratus daripada keseluruhan pembiayaan ubat-ubatan di seluruh negara,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Zulkifli berkata, sebahagian besar bahan aktif yang digunakan dalam pengeluaran ubat generik di Pharmaniaga adalah diimport daripada pengeluar luar negara.
“Sehingga kini, lebih daripada 200 produk ubat generik yang dihasilkan oleh Pharmaniaga telah didaftarkan dengan pihak berkuasa seperti NPRA dan mendapat kelulusan untuk dipasarkan di Malaysia.
“Pharmaniaga berusaha mengekalkan harga ubat generik yang mampu milik dengan mengurangkan kos pengeluaran, meningkatkan efisiensi operasi melalui proses penambahbaikan dari semasa ke semasa serta bekerjasama dengan kerajaan dan pengedar untuk memastikan harga yang kompetitif,” katanya.
Menurut Zulkifli, Pharmaniaga mengamalkan pengurusan inventori yang efektif dan sentiasa bekerjasama dengan pengedar serta farmasi di seluruh negara untuk memastikan bekalan ubat generik sentiasa mencukupi.-UTUSAN