PETALING JAYA: Malaysia Airlines bersedia untuk memperkukuh kehadirannya di Indonesia dengan menyertai sebagai Syarikat Penerbangan Pilihan atau Preferred Airline di ASTINDO Travel Fair 2025 yang diadakan di Jakarta bermula semalam hingga 23 Februari 2025.
Acara itu menawarkan pengalaman menarik bagi pengunjung, termasuk gerai Manchester United (MU) dengan permainan bola sepak mini dan gerai foto (photobooth) ‘Time For’ yang menarik dengan berlatarbelakangkan destinasi yang mempersona.
Syarikat penerbangan itu juga menawarkan diskaun hingga 30 peratus untuk berbagai destinasi, termasuk Kuala Lumpur (KUL), Bangkok (BKK), Seoul (ICN), Osaka (KIX), Paris (CDG) dan lain-lain.
Pengarah Urusan Kumpulan Malaysia Aviation Group (MAG), Datuk Kapten Izham Ismail berkata, Indonesia merupakan pasaran utama bagi Malaysia Airlines dan pihaknya komited untuk memberikan pengalaman perjalanan yang luar biasa dengan keterhubungan tanpa batas.
“ASTINDO Travel Fair 2025 merupakan platform yang ideal bukan sahaja untuk mempamerkan destinasi menakjubkan, tetapi juga keselesaan dalam penerbangan luar biasa yang dengan bangga kami kenali sebagai Malaysian Hospitality.
“Kami berusaha keras untuk memastikan setiap perjalanan dengan Malaysia Airlines sama berkesannya dengan destinasi itu sendiri dan berharap dapat menyambut lebih ramai penumpang untuk pengalaman perjalanan yang tidak dapat dilupakan,” katanya dalam kenyataan.
Tarif promosi terhad ini boleh ditempah bermula 17 Februari hingga 2 Mac 2025 melalui laman web dan aplikasi rasmi syarikat penerbangan, serta dari 20 hingga 23 Februari 2025 secara langsung di acara ASTINDO Travel Fair.
Tempoh perjalanan adalah dari 20 Februari hingga 30 November 2025.
Sementara itu, Presiden ASTINDO, Pauline Suharno berkata, pihaknya sangat gembira menyambut Malaysia Airlines sebagai Preferred Airline untuk ASTINDO Travel Fair 2025 kerana membawa tawaran luar biasa dan pengalaman premium kepada para pelancong Indonesia.
“Kerjasama ini mencerminkan komitmen kami dalam menawarkan pilihan perjalanan terbaik kepada pengunjung, memastikan keterhubungan tanpa halangan dan perjalanan yang berkesan,” katanya.
Menambah lagi keterujaan, Malaysia Airlines menawarkan promosi eksklusif dalam talian melalui laman web rasmi dan aplikasi mereka.
Sejajar dengan kerjasama globalnya bersama Manchester United, syarikat penerbangan ini turut memberikan peluang eksklusif kepada peminat kelab bola sepak tersebut untuk menyaksikan pasukan kegemaran mereka secara langsung di Old Trafford.
Pelanggan yang membeli tiket berpeluang memenangi tiket perlawanan hospitality, jersi Manchester United bertandatangan, dan barangan eksklusif.-UTUSAN