JERANTUT: Orang ramai tidak perlu berbelanja besar ke negara jiran jika ingin merasai pengalaman makan di tepi sungai kerana perkhidmatan itu ada disediakan di Taman Negara Kuala Tahan di sini.
Pengurus Tebing Guest House, Mohd. Abdul Rani Harun berkata, inap desa tersebut menyediakan sajian makanan di tepi sungai dan jeram supaya pengunjung berpeluang menikmati juadah di bawah teduhan pokok hutan tropika dan kedinginan air Sungai Tembeling.
“Pengunjung perlu memilih Taman Negara kerana pusat penginapan di sini bukan sahaja selesa, malah menyediakan pelbagai kemudahan aktviti rekreasi dan riadah, pengangkutan bot dan makanan tempatan yang lazat termasuk selera Barat.
“Pengunjung dapat mengikuti aktiviti rekreasi dan riadah bersama keluarga dikendalikan oleh pemandu pelancong berpengalaman, di samping pusat inap ini menyediakan sajian berasaskan ikan Sungai Tembeling dan ulam-ulaman.
“Kita membawa pengunjung yang menginap di sini menikmati sajian tengah hari di tepi Sungai Tembeling khususnya bagi pakej secara keluarga,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sementara itu, penginap Tebing Guest House dari Kuala Lumpur, Saihibah Mat Deris berkata, dia bersama 18 ahli keluarga dan rakan teruja kerana setiap kali makan tengah hari mereka dibawa ke Jeram Teras, Sungai Tembeling.
“Pelbagai menu tempatan berasaskan ikan sungai dan ulam-ulaman dijamu untuk kami sekeluarga dan berpuas hati dengan layanan pengurusan pusat inap ini.
“Pengunjung tidak perlu ke negara lain kerana Taman Negara Kuala Tahan sudah menyediakan kemudahan yang cukup memenuhi keperluan orang ramai terutama pusat inap yang selesa dan murah, selain masyarakat yang peramah,” katanya. – UTUSAN