PETALING JAYA: Masa depan pelajar cemerlang keluarga berpendapatan rendah (B40) tidak akan diabaikan dan bukan alasan menolak tawaran Sekolah Berasrama Penuh (SBP).
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek menerusi catatan di Facebooknya berkata, dia akan cuba sedaya upaya memujuk murid cemerlang yang terdiri daripada golongan berkenaan meneruskan pengajian di SBP.
Namun katanya, ibu-bapa perlu terlebih dahulu diyakinkan mengenai isu perbelanjaan dan bantuan yang akan diuruskan pihaknya.
“Saya ini paling ralat kalau anak-anak B40 menolak tawaran ke SBP kerana belenggu kemiskinan keluarga.Sedangkan dasar kita jelas, anak-anak B40 yang ada potensi inilah harus kita beri peluang dan beri keutamaan.
“Maka, terjadilah sesi pujuk-memujuk ini. Anak yang cerdik dan baik ini mendapat beberapa tawaran sekolah yang baik termasuk SBP, tetapi menolak kerana kekangan kewangan keluarga.
“Mula-mula ibu bapanya perlu dipujuk dengan memberi keyakinan bahawa isu perbelanjaan dan bantuan tidak perlu dibimbangkan. Semua bantuan persekolahan boleh diuruskan,” katanya dalam satu hantaran di Facebooknya.
Fadhlina yang turut menggelar dirinya sebagai ‘makcik’, berkongsi sekeping gambarnya memujuk seorang pelajar cemerlang secara atas talian.
“Selesai pujuk mak ayah. Berkumpul lah kami secara jemaah di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), masuk Google Meet untuk sesi pujuk memujuk. Memujuk anak jauh lebih susah. Dia menangis. Saya pun menangis. Dia terharu. Saya yang pilu.
“Kebimbangannya jelas. Tidak mahu menyusahkan ibu bapanya. Nampak sangat berat beban mahu meninggalkan keluarga. Walaupun beban kewangan bukan lagi isu selepas saya memberikan jaminan, anggap sahaja selesai kerana saya ada,” katanya.
Tegas Fadhlina usaha Kementerian Pendidikan (KPM) dalam memberi sokongan kepada anak B40 berterusan dan bukan setakat di peringkat sekolah, PPD dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN).
“Menteri pun harus membantu meyakinkan anak ini. Keciciran is a non negotiable. Semua pihak mesti turun hingga ke akar umbi.
“Kita doakan yang terbaik. Soalnya bukan tempat belajar, tetapi kemahuan untuk terus belajar. Tidak mengapa anakanda. Ambillah masa mengikut keselesaan anakanda. Makcik setia menunggu jawapan anakanda,” katanya.