MELAKA: Seramai 16 pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dibuang kerja pada Januari lalu atas pelbagai kesalahan.
Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Seri Azri Ahmad berkata, angka itu membabitkan empat pegawai berpangkat inspektor dan 10 anggota pangkat rendah.
Beliau berkata, kesalahan berkaitan dadah paling banyak dikesan membabitkan 10 orang diikuti integriti empat orang manakala rasuah dan jenayah masing-masing seorang.
“Sebahagian besar tindakan buang kerja itu melibatkan kes-kes narkotik sama ada memiliki atau mengambil dadah. Mereka juga telah dituduh serta disabitkan bersalah di mahkamah di samping menjalani proses tatatertib.
“Isu ini memerlukan tindakan dan perhatian khusus untuk menangani ancaman ini secara efektif. PDRM akan mengambil tindakan tegas terhadap sebarang pelanggaran atau salah laku agar pasukan ini kekal berintegriti dan dipercayai,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Melaka di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka di sini, hari ini.
Terdahulu, Azri menyaksikan majlis serah terima tugas antara pemangku Ketua Polis Melaka, Datuk Md. Nazri Zawawi dengan Ketua Lesen Pasukan Urusetia Ketua Polis Negara (KPN) (Lesen Senjata Api) Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Dzulkhairi Mukhtar.
Tambah Azri, pihaknya sedang membangunkan Pelan Pencegahan Rasuah PDRM bertujuan meningkatkan integriti, memperbaiki tatakelola serta mencegah amalan rasuah dalam pasukan.
Menurutnya, pembangunan pelan itu akan membentuk dokumen dasar selain mencerminkan komitmen PDRM untuk menghapuskan amalan rasuah.
“PDRM telah berjaya melaksanakan inisiatif di bawah Pelan Anti Rasuah PDRM (PAPDRM) 2020-2024 yang menyaksikan sebanyak 117 daripada 126 inisiatif telah diselesaikan.
“Baki sembilan inisiatif yang belum selesai akan diteruskan melalui Pelan Pencegahan Rasuah PDRM. Pelaksanaanya harus lebih berkesan bagi memastikan integriti dalam semua lapisan organisasi PDRM diperkukuhkan,” ujarnya. – UTUSAN