KUALA LUMPUR: Penubuhan Majlis Media Malaysia (MMM) membolehkan negara mempunyai kod etika pelaporan yang standard untuk diguna pakai oleh semua pengamal media.
Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, ketika ini, pengamal media Malaysia hanya merujuk kepada kod etika yang dikeluarkan oleh organisasi masing-masing untuk membuat pelaporan sesuatu berita.
Katanya, justeru, penubuhan majlis itu mampu meningkatkan standard dan kualiti ekosistem media Malaysia untuk mengharungi cabaran mendatang.
“Wartawan profesional perlu berpegang kepada ketepatan fakta setiap kali melaporkan sesuatu berita bagi memastikan pelaporan berita adalah lebih berkualiti dan dipercayai.
“Selain itu, sekiranya orang awam berasa terjejas dengan pelaporan yang dibuat oleh pengamal media, mereka tidak mempunyai platform untuk membuat aduan dan tiada mekanisme penyelesaian melalui proses perundangan sedia ada di mahkamah.
“Proses ini akan memakan masa lama serta memerlukan kos tinggi,” katanya pada sesi bacaan kali kedua Rang Undang-Undang (RUU) Majlis Media Malaysia 2024, di Dewan Rakyat, hari ini.
Nie Ching berkata, MMM adalah komitmen Kementerian Komunikasi dan kerajaan untuk menjamin kebebasan media bagi memastikan masyarakat umum mendapat informasi sahih, berintegriti dan adil.
“Trend peningkatan pelaporan yang tidak bertanggungjawab telah memberi kesan kepada masyarakat dan individu sehingga menimbulkan kekeliruan dan informasi tidak tepat berlegar di ruang massa.
“Melalui penubuhan MMM, kerajaan yakin ruang semak dan imbang boleh dilaksanakan oleh pemain industri media sendiri bagi meningkatkan amalan integriti dan pematuhan etika.
“Di sini letaknya tugas besar MMM dan pengamal media untuk menjamin integriti pelaporan kepada rakyat,” katanya. – UTUSAN