PETALING JAYA: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menubuhkan Majlis Bangunan Super Tinggi Malaysia bersama enam entiti utama bagi menyumbang kepakaran berkaitan isu keselamatan dan kebakaran membabitkan bangunan paling tinggi di negara ini.
Enam entiti tersebut adalah Menara Merdeka 118, Menara Exchange 106, Menara Berkembar Petronas, Menara Kuala Lumpur, Four Season Place Kuala Lumpur dan Menara Telekom.
Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat, Datuk Nor Hisham Mohamed berkata, pihaknya telah menandatangani surat niat antara enam entiti yang dikategorikan sebagai bangunan tinggi pada Disember lalu bagi penubuhan majlis tersebut.
Katanya, majlis ini berperanan sebagai platform bagi JBPM melaksanakan inisiatif bagi bangunan-bangunan yang dikategorikan paling tinggi memiliki kriteria kritikal untuk pelepasan diri semasa kecemasan.
Beliau berkata, antara tumpuan akan diberi perhatian membabitkan pada kaedah operator atau pengendali bertauliah untuk lift kecemasan.
“Pengendali sedia ada tidak ramai yang kita beri kuasa mengendalikan lift kecemasan. Bayangkan kalau orang duduk tingkat atas untuk turun ke bawah khususnya untuk orang kurang upaya (OKU), ia antara cabaran utama bagi mereka keluar.
“Jadi ilmu-ilmu ini perlu kita terapkan pada pengendali terlatih dan apabila kita laksanakan, Malaysia akan buat perubahan besar membolehkan orang dapat melepaskan diri menggunakan lift kecemasan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penganugerahan Pingat Perkhidmatan Bomba, Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dan Sijil Perkhidmatan JBPM Kuala Lumpur.
Katanya, inisiatif tersebut membabitkan sebanyak 366 bangunan tinggi di negara ini iaitu kira-kira 293 bangunan melebihi 150 meter manakala 67 bangunan melebihi 200 meter dan enam lagi melebihi 300 meter.
“Tahun ini kita juga meletakkan sasaran kira-kira 2,300 bangunan di Kuala Lumpur untuk program menghapus kebakaran iaitu 1,000 daripada membabitkan rumah kediaman jenis strata.
“Ini kerana 40 peratus kebakaran dilaporkan membabitkan rumah kediaman. Jadi tumpuan kita adalah bangunan tinggi dan rumah kediaman,” katanya. – UTUSAN