MAIPs terima buku Syeikh al-Qaradawi untuk masjid Perlis

MAIPs terima buku Syeikh al-Qaradawi untuk semua masjid Perlis

Tuanku Syed Faizuddin Putra berbincang mengenai buku-buku terkini terbitan Kumpulan Darul Fikir Sdn Bhd ketika berkenan berangkat ke Galeri Buku Darul Fikir, Jalan Raja Muda Abdul Aziz, Kuala Lumpur, semalam. Hadir sama (dari kiri), Mohd Zaki Ahmad, Dr. Adel Mohamed Ali Ba Hamid dan Dr. Mohd Na'im Mokhtar. -IHSAN MAIPs.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) menerima sumbangan 300 naskhah buku ‘Syeikh Yusuf Al-Qaradawi, Sebuah Autobiografi: Sang Pelita Umat’ , semalam.

Buku itu mengisahkan perjalanan hidup tokoh ulama kontemporari itu sejak kecil sehingga menjadi seorang ulama terkemuka, termasuk perjuangannya dalam bidang dakwah dan ilmu pengetahuan.

Buku tersebut yang diterbitkan di Malaysia oleh Kumpulan Darul Fikir Sdn. Bhd. ditaja oleh syarikat Johawaki Holdings Sdn. Bhd. dan akan diagihkan kepada masjid-masjid di Perlis.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail merangkap Yang DiPertua MAIPs berkenan berangkat menyaksikan majlis penyerahan sumbangan tersebut oleh Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Johawaki, Datuk Johari Mat kepada Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MAIPs, Mohd. Nazim Mohd. Noor.

Ia bersempena keberangkatan baginda ke Galeri Buku Darul Fikir, Jalan Raja Muda Abdul Aziz di sini.

Sementara itu, sebanyak 100 mushaf al-Quran Rasm Uthmani Bertajwid terbitan Darul Fikir pula disumbangkan kepada Sekolah Muslim Wittaya di Phuket, Thailand.

Ia akan disampaikan melalui MAIPs dan diserahkan oleh Pengerusi Eksekutif Kumpulan Darul Fikir Sdn. Bhd., Datuk Mohd. Zaki Ahmad.

Dalam majlis yang sama, 50,000 naskhah buku ‘Adab Perbezaan Pendapat dalam Islam’ karangan Dr. Taha Jabir Fayyadh Al ‘Alwani, terbitan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dengan kerjasama Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) turut disumbangkan untuk sekolah-sekolah menengah, institusi-institusi pendidikan Islam, pusat latihan serta sekolah-sekolah agama di Perlis.

Penyerahannya disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar kepada pihak MAIPs.

Hadir sama Duta Besar Republik Yaman ke Malaysia, Dr. Adel Mohamed Ali Ba Hamid dan Ahli Lembaga Pengarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Datuk Seri Dr. Syed Hussein Abd. Kadir Al Habshee.

Majlis tersebut turut diserikan dengan forum yang diadakan secara santai membincangkan tajuk ‘Perubahan Iklim Global dan Tanggungjawab Kita’. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN